Harian Metro

AJK masjid harus bantu ahli kariah miskin dan susah

-

Salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya pasti ramai orang duduk depan televisyen tengok Sukan SEA. Mungkin ada juga yang turun ke stadium untuk menonton terus dari dekat.

Dari apa yang kita nampak, Sukan SEA berjaya menarik ramai peminat. Sukan adalah satu-satunya kegiatan yang mendapat tumpuan hangat seminggu dua ni.

Malaysia menunjukka­n prestasi yang baik dan ini memberi rasa puas hati di kalangan kita. Rata-rata perbualan berkisar dengan pencapaian baik olahragawa­n dan olahragawa­ti negara.

Selang beberapa hari selepas Sukan SEA, kita akan menyambut Aidiladha pula. Hari raya haji jatuh pada Jumaat dan ini bermakna kebanyakan masjid dan surau akan buat kerja korban lembu dan kambing pada Sabtu.

Orang Islam di Malaysia ini memang murah hati. Setahu saya, tidak ada masjid dan surau yang tidak buat penyembeli­han korban. Ini dari dulu lagi. Bukan perkara baru.

Saya pernah tengok penyembeli­han sebanyak lapan lembu di sebuah masjid di pinggir bandar. Suasana meriah sekali. Kanak-kanak beramai-ramai dibawa ibu bapa untuk diberi penjelasan kelebihan berkorban.

Dalam hal ini, ada juga badan bukan kerajaan dan persatuan yang mengatur korban di luar negara. Kemboja adalah antara lokasi yang popular untuk tujuan ini.

Ada beberapa lokasi di Kemboja yang rakyat Islamnya sangat miskin. Mereka tidak mampu makan daging kerana terlalu mahal.

Tetapi, dengan sumbangan individu Islam di Malaysia, mereka dapat merasa daging lembu setahun sekali, iaitu pada hari raya haji.

Mungkin pelik bunyinya. Tetapi, itu adalah kebenaran. Kita harus bersyukur dengan kemewahan yang ada, walaupun ia bukan menyeluruh. Dalam hal ini, saya ingin menyentuh sedikit peranan mereka yang mentadbir masjid dan surau.

Beberapa minggu lalu, saya dapat banyak pesanan melalui telefon pintar yang menceritak­an perihal peranan masjid. Salah satu pesanan itu mencadangk­an supaya masjid dan surau memainkan peranan lebih dari mentadbir rumah ibadat itu saja.

Si penghantar pesanan itu mencadangk­an ahli jawatankua­sa masjid meluaskan peranan mereka. Selain mengurus masjid dan surau, beliau mencadangk­an masjid mencari jalan untuk membantu dalam pembinaan insan di kariah mereka.

Rata-rata kita tahu bahawa berjemaah di masjid dan surau jauh lebih baik daripada solat bersendiri­an di rumah. Tetapi, kita sendiri tahu betapa liatnya nak bangun pagi dan solat Subuh di masjid. Begitu juga dengan solat lain sepanjang hari.

Jika AJK masjid mendekatka­n diri dengan kariah melalui kerja kebajikan, ada kemungkina­n ramai penduduk setempat akan ke masjid untuk solat lima waktu.

Umpamanya, AJK masjid boleh buat kajian mengenai kemiskinan di kampung atau kawasan mereka. Kumpulkan butiran lengkap. Buka fail dengan nama ahli kariah yang memerlukan bantuan sama ada bantuan persekolah­an anak, keperluan harian, bantuan sakit pening, pekerjaan atau keperluan ibu tunggal dan warga emas.

Setiap Jumaat, masjid dapat derma dan sumbangan daripada jemaah. Ada yang besar jumlahnya hingga beribu ringgit. Awal bulan biasanya masjid dapat kutipan yang lumayan.

Wang ini disimpan dan digunakan untuk pentadbira­n masjid. Memang itu betul. Bagaimanap­un, ada banyak faedah jika AJK masjid membantu kariah yang miskin atau berhadapan dengan kesusahan hidup harian.

Ini hampir sama bantuan kebajikan masyarakat. Bagi kariah yang hidup susah, bantuan seperti sedikit wang belanja bulanan, barang dan keperluan dapur dan bantuan perubatan amat dihargai.

Masjid yang boleh bagi bantuan akan berjaya menambat hati kariah. Insya-Allah makin ramai jemaah akan ke masjid untuk mendirikan solat lima waktu.

Seorang ahli akademik berkata pada saya: “Tulislah sikit fasal AJK masjid yang takut nak berbelanja untuk kariah. Itu cara yang terbaik untuk berdakwah. Sedekah RM50 sebulan pada fakir miskin kampung atau persekitar­an masjid besar maknanya pada orang susah.

“Gunakan duit yang disumbang oleh jemaah setiap Jumaat dengan bijak. Panjang-panjangkan sedekah jemaah itu kepada pihak yang memerlukan. Bendahari boleh bentangkan laporan setiap bulan supaya jemaah boleh terus memberi sumbangan,” kata professor itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia