Harian Metro

PENUHI IMPIAN

- AFP

 Axelsen bergelar juara dunia selepas lebur cabaran Lin Dan

Pemain muda Denmark, Viktor Axelsen memenuhi impian masa kecilnya dengan menewaskan pemain legenda Lin Dan untuk meraih pingat emas perseorang­an lelaki pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, awal pagi semalam.

Pada usia 33 tahun, Lin Dan memburu rekod kejuaraan kali keenam namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas kecundang 20-22, 16-21. Dia berdepan mata penamat pada set pertama ketika mendahului 20-19 namun ketinggala­n sepanjang masa pada set kedua.

Axelsen muncul pemain ketiga Denmark memenangi kejuaraan perseorang­an. Flemming Delfs menang kejuaraan sulung pada 1977 manakala Peter Rasmussen muncul juara juga di Glasgow, 20 tahun lalu.

“Menjadi impian saya untuk layak ke final kejohanan dunia,” kata Axelsen, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016. “Tapi sukar dipercayai saya mampu menewaskan Lin Dan. Saya menonton aksinya selama bertahun-tahun.

“Hari ini, saya mungkin tampil dengan yakin, tapi sebenarnya saya gementar seperti seorang budak kecil.”

Pada hujung perlawanan itu, Axelsen yang berusia 23 tahun memegang kepalanya seolah-olah tidak percaya sebelum rebah di gelanggang.

Bagi Lin Dan, ia kekalahan yang menyakitka­n.

“Jika saya menang set pertama, keputusan ini mungkin berbeza,” ujar bintang China itu. “Tapi pada set kedua, saya amat tertekan.”

Mengenai masa depannya, dia tidak jelas.

“Saya tidak mempunyai masa untuk berfikir,” katanya. “Saya pulang esok dan Sukan Kebangsaan China bermula sehari kemudian.

“Kemudian saya beraksi pada Terbuka Jepun. Selepas itu, saya tiada sebarang perancanga­n. Pasti sukar bermain pada Kejohanan Dunia pada usia 34 tahun.”

 ??  ?? AXELSEN (dua dari kanan) memegang trofi Kejuaraan Dunia di London.
AXELSEN (dua dari kanan) memegang trofi Kejuaraan Dunia di London.
 ??  ?? REAKSI Axelsen sebaik sahaja menamatkan perlawanan menentang Lin Dan.
REAKSI Axelsen sebaik sahaja menamatkan perlawanan menentang Lin Dan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia