Harian Metro

Pesanan arwah bapa jadi azimat Irfan

-

Shah Alam: Pesanan arwah ayahnya bakal menjadi azimat buat pemain pertahanan skuad bawah 22 tahun (B-22), Irfan Zakaria apabila turun beraksi menentang Thailand malam ini.

Menurut Irfan, pentas final itu cukup penting buat dirinya apabila menempuh pelbagai pahit getir untuk bergelar pemain bola sepak profesiona­l selepas ketiadaan ayahnya, Zakaria Ahmad yang meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu.

“Saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan layak ke final apatah lagi kita bermain di tempat sendiri. Final ini adalah hadiah untuk arwah bapa saya, sebab kalau bukan kerana beliau, tak mungkin saya bermain bola sepak sekarang.

“Beliau banyak berikan sokongan untuk saya berlatih sejak kecil, hantar saya menyertai latihan di kelab bola sepak. Sebelum ini, beliau yang uruskan segala urusan berkaitan bola sepak untuk saya.

“Ketika arwah meninggal dunia, ketika itu saya masih dengan skuad Harimau Muda B. Saya masih ingat pesannya: ‘kalau kita ingin berjaya, lakukan sesuatu dengan ikhlas dan jujur supaya apa yang kita inginkan dapat dilakukan dengan betul’,” kata Irfan.

Walaupun kurang mendapat perhatian berbanding kapten, Adib Zainudin dan Adam Nor Azlin, Irfan tetap menjadi tonggak utama bagi membentuk tiga pemain pertahanan kental dalam formasi 3-4-3 yang diterapkan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Malah, pakar sepakan percuma itu juga antara watak penting kejayaan skuad muda negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 selepas melepasi kelayakan di Bangkok bulan lalu.

Irfan yang bermain di posisi tengah bersama Kuala Lumpur bagaimanap­un mengaku cabaran hebat menanti mereka apabila berdepan juara dua edisi berturut-turut, Thailand.

“Kita tahu mereka pasukan yang kuat tapi kita jangan terlalu menghormat­i mereka. Jika semua pemain dapat melakukan tugas masing-masing dengan baik, bukan mustahil untuk kita merampas kejuaraan daripada Thailand,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? AKSI tangkas Irfan (kanan) ketika menentang Indonesia.
AKSI tangkas Irfan (kanan) ketika menentang Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia