Harian Metro

Guna baucar pelanggan curi dua televisyen

-

Petaling Jaya: Tindakan seorang pekerja pasar raya mencuri dua televisyen di tempatnya bekerja akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhka­n hukuman itu terhadap Siti Maisharah Mat Adnan, 31, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapny­a dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri dua televisyen jenama Sony berukuran 32 inci milik pasar raya Tesco yang bernilai RM1,898 di Tesco Puchong, Lot 148-149, Jalan Bandar 3, Puchong pada jam 8.23 pagi, 9 Ogos lalu.

Sementara itu, adiknya, Siti Atirah Mat Adnan, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama, di tempat, tarikh dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Siti Maisharah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga dan ibu bapanya tidak bekerja.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara mandatori ke atas tertuduh mengambil kira faktor tertuduh sebagai pekerja di pasar raya itu melakukan pecah amanah dan sebagai peringatan kepada masyarakat umum.

Mengikut fakta kes, tertuduh menggunaka­n kuasanya sebagai pekerja di situ untuk menggunaka­n semua baucar yang digunakan oleh pelanggan lain untuk mengambil dua televisyen itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia