Harian Metro

Baca al-Quran ‘tanpa’ mata

- Amniera Naziera Amran hmkk@hmetro.com.my

 Guru muda cacat penglihata­n buktikan OKU mampu mengajar pelajar celik Apa yang penting niat mereka ikhlas

untuk mempelajar­i

al- Quran

Muhammad Fiqry

Pada setiap Sabtu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, seorang guru lelaki mendengar dengan teliti bacaan al-Quran diperdenga­rkan oleh pelajarnya.

Sesekali beliau memperbetu­lkan bacaan pelajarnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Kelas ini amat istimewa tetapi bukan kerana usia lelaki itu, Muhammad Fiqry Muhammad Fami yang muda iaitu hanya 22 tahun. Tetapi, ia memandangk­an guru al-Quran ini adalah orang kurang upaya (OKU) cacat penglihata­n.

Lebih istimewa dan mungkin tidak ramai yang tahu, beliau adalah johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Sabah 2017 dan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan di Melaka.

Kelebihan pemuda yang berasal dari Kampung Somodon, Topokon, Tuaran ini, membuka mata masyarakat bahawa kekurangan bukan bermakna seseorang tidak mampu mendalami al-Quran seperti orang lain.

Malah, beliau kini bergelar bilal di Masjid An- Nur Tuaran dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, di samping menjadi imam di surau di kampungnya

Menurut Muhammad Fiqry, dia turut bergiat aktif mengajar al-Quran untuk pelajar dewasa di Surau Kampung Somodon, Topokon, Tuaran setiap Selasa.

“Kelas al-Quran biasanya diadakan pada waktu malam sementara menunggu masuk waktu solat Isyak.

“Setakat ini, saya mengajar lima orang saja dan tidak merancang untuk mengambil lebih ramai kerana dengan jumlah pelajar yang ada sekarang sudah memadai.

“Saya tidak kisah berapa ramai pun yang mengikuti kelas saya. Apa yang penting niat mereka ikhlas untuk mempelajar­i al-Quran.

“Secara kebiasaann­ya saya akan merujuk bacaan melalui al-Quran Braille,” katanya kepada

Harian Metro, baru-baru ini.

Bercerita soal kehidupann­ya, Muhammad Fiqry berkata, dia dilahirkan di Kapit, Sarawak, kerana bapanya, Mohd Fahmi Abdullah, 40-an dari daerah itu.

Ibunya, Fatin Najihah Abdullah, 40-an, dari Tuaran dan disebabkan itu kini dia menetap di sekitar daerah terbabit.

Menurutnya, dia sudah mula mempelajar­i al-Quran sejak berusia enam tahun ketika peringkat prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru.

“Saya memang berhasrat untuk menjadi seorang imam sejak kecil. Disebabkan itu, saya mula mendalami al-Quran pada usia muda dan masa terluang saya diisi untuk belajar dengan guru bagi memperbetu­lkan bacaan dan tajwid saya.

“Waktu pagi sehingga tengah hari, saya bersekolah seperti kanak-kanak lain, manakala petang saya menghadiri kelas al-Quran dan bermula saat itu saya belajar membaca al-Quran braille,” katanya.

Muhammad Fiqry berkata, semasa belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur antara 2008 hingga 2010, dia semakin berminat untuk menjadi qari dan berazam untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

“Selepas tamat tingkatan tiga, saya menyambung pelajaran di SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Johor dalam bidang refleksolo­gi selama dua tahun dan kemudian menyambung pelajaran al-Quran di SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth sehingga 2014.

“Selepas itu, saya mengambil kursus terapi urutan di Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfield­s, Kuala Lumpur pada 2015 sebelum mengikut ibu kembali ke Sabah pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana cita-citanya menjadi imam sudah tercapai dan bersyukur mendapat pengiktira­fan orang sekeliling dan diberi kepercayaa­n membacakan khutbah solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha.

“Saya tidak mampu melihat tulisan, namun hanya berbekalka­n halaman kosong yang mengandung­i titik timbul atau braille, kadangkala ia menjadi cabaran buat diri saya menyampaik­an khutbah dengan lancar dalam keadaan jari perlu meramas teks bagi menterjema­h simbol braille kepada sebutan,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan yang diraihnya dalam MTQ Sabah 2017 baru-baru ini, lelaki ini berkata, bukan mudah untuk berada pada peringkat ini.

Namun, dia berupaya melakukann­ya kerana niat ikhlas untuk memperbaik­i bacaan dan tarannum.

“Ternyata usaha saya sejak sekolah rendah termasuk mendapat tunjuk ajar beberapa bekas qari kebangsaan di negeri ini tidak sia-sia. Tambahan apabila mengenangk­an keadaan diri saya yang tidak sempurna berbanding orang lain.

“Kejayaan ini amat bermakna dan ia menjadi pendorong serta pembakar semangat untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Pada saya, restu ibu bapa itu paling utama untuk mengiring kejayaan dunia mahupun akhirat,” katanya.

Berbekalka­n pengalaman dan aktif menyertai pertanding­an tilawah al-Quran sejak di bangku sekolah rendah, Muhammad Fiqry kini giat membantu masyarakat di negeri ini dengan menawarkan kelas percuma untuk memperbetu­lkan bacaan setiap hari Sabtu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

 ??  ?? MUHAMMAD Fiqry (tengah) bilal dan johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Sabah 2017.
MUHAMMAD Fiqry (tengah) bilal dan johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Sabah 2017.
 ??  ?? MUHAMMAD Fiqry dibantu pengiring, Sabli Latip.
MUHAMMAD Fiqry dibantu pengiring, Sabli Latip.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia