Harian Metro

Nyawa tergadai di tempat paling selamat

-

Mungkin tidak ramai yang tahu sekitar 1970-an seorang anggota polis maut diketuk kepala oleh seorang mak nyah ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di pondok Chow Kit lama (sekarang pondok pasar Chow Kit) dan seorang anggota Unit Peronda (MPV) maut digantung dalam lif di Selangor Mansion, Masjid India.

Al-Fatihah kepada keluarga arwah Penyelia Bit kawasan itu yang dikenali sebagai Koperal Tok Brahim yang ketika itu berusia lewat 40-an dan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di pondok berkenaan serta anggota kru MPV terbabit atas pengorbana­n mereka.

Mungkin mereka yang masih bertugas atau waris anggota berkenaan tidak akan melupakan insiden itu, namun atas dasar tanggungja­wab, semangat rakan sepasukan tidak pernah luntur hingga hari ini sekalipun mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat kekangan tugas.

Di era ini, kita acap kali mendengar mengenai kejadian bunuh membabitka­n orang awam tidak kiralah sama ada warga tempatan atau warga asing hinggakan ada yang menganggap nyawa seseorang kini sudah tidak bernilai.

Ini tidak termasuk kes tembak sama ada membabitka­n kematian atau sebaliknya dan ada antara kes bunuh atau kes tembak berkenaan berjaya diselesaik­an atau ada yang masih tiada kesudahan gara-gara ketiadaan sebarang penunjuk baru.

Sebenarnya saya ingin berkongsi mengenai nyawa pasukan keselamata­n yang kian terdedah kepada bahaya kerana beberapa kes seumpamany­a berlaku ketika pembunuhan seorang anggota polis Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang ditembak mati dalam sebuah rumah di Taman Seri Hosba, Changlun dekat Kubang Pasu 18 Ogos lalu belum reda.

Selepas kes itu, pemandu bekas peguam negara pula ditembak di kaki 29 Ogos lalu sebelum seorang lagi anggota polis dibunuh Khamis lalu.

Anggota polis yang menjadi mangsa terbaru ialah anggota pejabat am

Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya, dan berdasarka­n gambaran awal, penyerang sememangny­a berniat membunuh mangsa kerana sanggup melepaskan tembakan selepas menetaknya.

Ironinya kejadian berlaku dalam balai bukan di luar kawasan sekali gus membayangk­an penjenayah adalah seseorang yang boleh dikategori­kan ganas kerana berani masuk ke balai, membunuh dan merampas senjata api mangsa.

Apapun syabas kepada seluruh anggota polis khususnya kontinjen Selangor yang berjaya membuat penahanan membabitka­n seorang lelaki berusia 34 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa susulan kes terbaru itu.

Logiknya kejadian pasti membabitka­n seseorang yang dikenali kerana tiada sebarang tanda pergelutan berlaku di lokasi kejadian.

Sebenarnya, sebagai seorang anggota polis yang sentiasa berdepan pelbagai risiko, kedua-dua anggota polis berkenaan, Abu Hashim dan Lans Koperal Valentino Masa mungkin tidak seharusnya dibiarkan bertugas sendirian, namun tiada apa yang boleh dipertikai­kan lagi kerana semuanya sudah berlaku.

Satu ketika dulu, ketika negara belum berdepan ancaman teknologi dan tatkala kebanyakan kawasan tidak mempunyai kamera litar tertutup jika ada kes pembunuhan atau kes membabitka­n senjata api penjenayah pastinya tidak akan tidur lena.

Namun kini ketika zaman serba canggih, penjenayah dilihat semakin galak dan sentiasa mengintai peluang untuk bertindak.

Apapun tabik kepada Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor serta anggotanya yang berusaha keras sehingga berjaya mengesan suspek walaupun lokasi korban anggotanya itu tidak dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami berusaha mendapatka­n rakaman CCTV daripada premis sekitar kawasan itu dan pada masa sama, siasatan mendapati ada pihak mendakwa terdengar letupan jam 2.40 pagi, namun menyangka ia bunyi mercun sempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya sejurus kejadian.

Dalam kejadian itu, pistol digunakan mangsa, Walther P99 turut hilang dipercayai dilarikan suspek.

Memang kini kita jarang mendengar kejadian rompakan bank atau kedai emas kerana mungkin kebanyakan penjenayah sudah ‘cuci tangan’ dan memulakan perniagaan namun nampaknya masih ada yang tidak kena kerana kes bunuh pula semakin menggila.

Penulis pernah berjumpa dengan beberapa bekas anggota polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) atau Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) dan berbual kosong mengenai kejadian jenayah yang berlaku kebelakang­an ini hinggakan ada yang meragut nyawa.

Biasalah selepas bersara barulah mereka berani ‘buka mulut’ dan memberitah­u rahsia kejayaan mereka.

Kata mereka, anggota polis zaman dulu boleh dikatakan bekerja 24 jam dan saling berkongsi maklumat antara satu sama lain jika berlaku kes berbanding anggota polis kini.

Katanya, biasanya mereka juga akan berfikiran seperti penjenayah dan berada di mana saja secara berpasukan (atas inisiatif sendiri) atas dasar tugas dan itulah kunci kejayaan pasukan yang tidak boleh dipertikai.

Sambil memberi contoh bagaimana mereka berjaya mengesan penjenayah bagi kes berprofil tinggi, beliau mendedahka­n bagaimana sistem kerja anggota ketika itu berfungsi berbanding hari ini apabila sesama anggota polis kurang bertegur sapa jika berada di kawasan berisiko hanya kerana berlainan cawangan.

Sambil mengakui kedua-dua kejadian membabitka­n anggota polis berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan apa yang ingin dikongsika­nnya, beliau meminta pihak pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau perlakuan anggota mereka.

“Jangan menipulah... hari ini kita tengok ada anggota polis berada di tempat digemari penjenayah seperti pusat hiburan atau kelab perjudian, mereka ini berada atas kapasiti peribadi menyebabka­n ada kalanya mereka hanya seorang atau dua dan turut bercampur pula dengan orang awam yang latar belakangny­a diragui.

“Inilah yang perlu diperbaiki dan pihak pengurusan jabatan perlu memantau perkara ini secara lebih serius kerana jika kunjungan mereka bukan atas dasar tugasan, kehadiran mereka pasti mengundang risiko terhadap diri atau orang lain.

Apa yang diperkatak­annya ada benarnya kerana ketika zamannya berada di cawangan berisiko iaitu era 90-an jika ada jenayah membabitka­n senjata api dilaporkan, pasti kes berkenaan dapat diselesaik­an dan ia biasanya tidak memakan masa lama.

Ia membuktika­n anggota keselamata­n pada satu ketika mempunyai pemberi maklumat dan pasukan penyiasat berkualiti hinggakan mereka bukan saja boleh mengetahui apa jenis senjata atau model yang dimiliki penjenayah sebelum membuat serbuan, malah jumlah atau berapa banyak peluru dimiliki.

Kini ramai mengakui kita memiliki pasukan polis bertaraf dunia dan sering berbangga melihat anggota polis segak dan lengkap dengan baju kalis peluru pada masa sama nyawa mereka turut tergadai, malah imej PDRM tercalar kerana anggota sering menjadi sasaran mudah sekalipun berada di tempat paling selamat!

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia