Harian Metro

Mula operasi

- Muhaamad Hafis Nawawi mhafis@hmetro.com.my

 Fasa pertama KKB kini dibuka untuk kenderaan berat dari Thailand dan sebaliknya

Kompleks Kenderaan Berat (KKB) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Bukit Kayu Hitam memulakan operasi fasa pertamanya semalam.

Bagaimanap­un operasi sepenuhnya bagi fasa pertama termasuk Kompleks Kenderaan Ringan (KKR) hanya bermula 1 November ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mulai semalam KKB memulakan operasi di ICQS bagi kenderaan berat dari Thailand ke negara ini dan dari Malaysia ke Thailand.

Menurutnya, lima jabatan dan agensi yang terbabit di ICQS Bukit Kayu Hitam diarahkan memulakan operasi sepenuhnya pada 1 November iaitu penyerahan sepenuhnya Syarikat pemaju Northern Gateway Infrastuct­ure Sdn Bhd kepada kerajaan dibuat pada 31 Oktober.

“Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai keselamata­n ICQS Bukit Kayu Hitam diadakan pada 1 November ini melihat operasi tanpa kecacatan.

“KKB yang baru membabitka­n 60 peratus daripada komponen fasa pertama bermula hari ini (semalam) manakala baki 40 peratus merangkumi KKR, Pejabat Operasi dan Pentadbira­n serta kemudahan awam dibuka sepenuhnya 1 November ini.

“Kami serius menangani dan menterjema­hkan apa diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menjadikan Malaysia sebagai hab logistik,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan HCL mengenai keselamata­n ICQS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.

Beliau berkata, ini lawatan ketiga beliau meninjau ICQS Bukit Kayu Hitam yang baru dan berpuas hati dengan pemaju serta konsesi walaupun pada lawatan kali pertama projek ini berlaku kelewatan 700 hari.

“Penyelaras­an terbaik dilakukan pelbagai kementeria­n dan agensi termasuk kerajaan negeri. Langkah turun padang bukan menyusahka­n mana-mana pihak, tetapi mempermuda­h cara bagi menentukan semua yang terbabit memberikan komitmen.

“Operasi 24 jam pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam direalisas­ikan pada 1 Januari 2019, membabitka­n komitmen kedua-dua pihak,” katanya.

Mengenai operasi pembersiha­n besar-besaran bagi mengatasi penyeludup­an susulan operasi penuh ICQS Bukit Kayu Hitam, beliau berkata, ia sentiasa dilakukan.

“Motto kami tidak ada hari tanpa operasi termasuk operasi penguatkua­saan. Kepada penyeludup dan bakal penyeludup, ingat itu,” katanya.

KKB baru ini mempunyai dua kali ganda lorong pemeriksaa­n berbanding sebelumnya dan dilengkapi aplikasi penguatkua­saan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, pusat kuarantin haiwan dan tanaman.

Kos keseluruha­n pembinaan ICQS baru membabitka­n fasa pertama dan kedua RM425 juta yang siap sepenuhnya 31 Disember 2018.

ICQS Bukit Kayu Hitam baru mula beroperasi 20 jam berbanding sekarang 18 jam bermula 1 November ini dan dibuka sepenuhnya 24 jam bermula 1 Januari 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia