Harian Metro

500 kumpul lepas lima dekad

- Mohamad Yatim Latip am@hmetro.com.my

 Ahli keluarga penduduk Kampung Tanjung Mak Midah kukuh hubungan generasi baru

Kira-kira 500 sanak saudara termasuk ahli keluarga penduduk Kampung Tanjung Mak Midah, Paya Dalam, di sini, bertemu semula selepas 50 tahun berpisah pada Perjumpaan Warga Sedulor, Kampung Tanjung Mak Midah 2017, di sini, kelmarin.

Cetusan idea mengumpul semula semua sanak saudara serta ahli keluarga penduduk Kampung Tanjung Mak Midah itu akhirnya meninggalk­an kenangan menggembir­akan buat Jalal Idris, 63, apabila program itu terlaksana­kan dan mereka bersua kembali.

Pengerusi program Siti Hawa Katam, 44, berkata, perjumpaan itu julung kali diadakan bertujuan mengeratka­n kembali talian persaudara­an dan silaturahi­m antara ahli keluarga berasal dari kampung itu.

Menurutnya, cetusan idea diilhamkan Jalal, mereka kemudian mengatur perancanga­n rapi memastikan ia berjaya dan ternyata membuahkan hasil apabila dapat mengumpul 500 orang.

Katanya, pihaknya dengan kerjasama semua penduduk kampung serta sanak saudara yang tinggal di beberapa negeri lain mengambil inisiatif mengesan serta memaklumka­n perjumpaan melalui aplikasi Whatsapp dan laman sosial Facebook (FB).

“Usaha itu mengambil masa lebih sebulan sebelum kami mengumpul sejumlah besar ahli keluarga menetap di luar Melaka untuk hadir pada hari ini (kelmarin).

“Alhamdulil­lah, berkat kerjasama semua pihak, 50 keluarga kebanyakan­nya menetap di Kuala Lumpur, Pahang dan Johor sudi meluangkan masa hadir, sekali gus menjayakan perjumpaan ini selain melepaskan rindu selepas sekian lama tidak berjumpa,” katanya di sini.

Siti Hawa berkata, kebanyakan mereka yang berhijrah ke tempat lain dan mempunyai talian persaudara­an dengan penduduk sedia ada meninggalk­an kampung halaman mereka di Kampung Tanjung Mak Midah hampir 50 tahun lalu.

Katanya, sesetengah mereka terputus hubungan itu sudah bercucu-cicit, justeru generasi muda yang ada sama sekali tidak mengenali antara satu sama lain.

“Contohnya, ada ahli keluarga kerja satu pejabat atau di tempat sama, tetapi mereka tidak tahu ibu bapa atau datuk dan nenek mereka berasal dari kampung sama.

“Dengan adanya program ini ia mampu memberi mereka peluang mengenali satu sama lain, sekali gus mengukuhka­n kembali hubungan persaudara­an sesama generasi muda,” katanya.

Menurut Siti Hawa, asal usul penduduk kampung itu dari Pachitan, Jawa Timur, Indonesia, justeru semua mereka berbangsa Jawa manakala kampung terbabit wujud sejak 1920-an lagi.

Katanya, antara acara diadakan bagi memeriahka­n program termasuk membaca Yasin, tahlil dan doa selamat selain sesi suai kenal keluarga serta beberapa acara sukaneka untuk kanak-kanak dan golongan dewasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia