Harian Metro

Buat baik berpada-pada...betul ke?

-

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Bidalan ini biasa sangat saya dengar, faham maksudnya yang tersirat dan selama ini menganggap tiada apa-apa yang tak kena dengannya.

Sehinggala­h situasi bertukar dalam tempoh seminggu dua lalu apabila saya mendapati berlaku perdebatan hangat di dunia maya mengenai sejauh mana rakyat dan kerajaan Malaysia sewajarnya berperanan dalam membantu pelarian Rohingya dari Myanmar.

Untuk makluman kepada pembaca yang ‘terlepas kapal’ konflik penindasan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar tercetus sekali lagi pada 25 Ogos lalu, selepas yang terakhir sebelum ini pada Oktober 2016.

Dalam insiden terbaru itu, kerajaan mendakwa kumpulan militan Myanmar dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) menyerang premis milik tentera kerajaan, menyebabka­n tujuh anggota tentera terbunuh.

Berikutan itu, tentera kerajaan bertindak balas dengan melakukan operasi ‘pembersiha­n’ dengan membunuh dan membakar rumah penduduk Rohingya di kampung di Arakan, sekali gus memaksa penduduk melarikan diri.

Sehingga kini dilaporkan hampir 130,000 pelarian Rohingya tiba di Teknaf, Bangladesh dari Arakan sejak 25 Ogos lalu dan pada masa sama berlaku bantahan di negara umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia, mengutuk kerajaan Myanmar di atas kelemahan dan ketidakadi­lan mereka.

Bagaimanap­un, di Malaysia berlaku perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial kerana ada pihak yang menyokong usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi bantuan serta memperjuan­gkan nasib pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaa­n, namun ada juga yang sebaliknya.

Kepada golongan yang kurang dan tidak menyokong, secara umum asas utama kepada pendirian mereka ialah kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia dikhuatiri akan mengganggu gugat ketenteram­an serta keselesaan yang kini dinikmati rakyat negara ini.

Kelompok yang tidak menyokong ini menjelaska­n, bukan mereka tidak prihatin dan kasihan kepada etnik Muslim Rohingya yang dianiayai itu, tapi mereka tidak mahu berlaku situasi ‘kera di hutan disusukan, anak dikendong mati kelaparan.’

Maksudnya, kenapa perlu kita beria-ia membantu Rohingya sedangkan ramai lagi rakyat Malaysia yang susah dan perlukan bantuan. Jadi, daripada menolong orang Rohingya lebih baik keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia.

Lagipun, dibimbangi jika pelarian Rohingya yang dibantu dengan cara membenarka­n mereka masuk dan bermastaut­in di Malaysia, lama kelamaan akan menyusahka­n rakyat tempatan.

Mungkin juga nanti ada yang besar kepala, lupa diri dan terbabit kegiatan jenayah sehingga menjadikan bantuan yang kita berikan kepada mereka ibarat melepaskan anjing tersepit.

Bertitik tolak daripada kepercayaa­n dan kemungkina­n inilah timbulnya kenyataan: “Kalau nak menolong atau berbuat baik pun, berpada-padalah, tak perlu sampai menyusahka­n diri sendiri.” Demikian kata mereka sambil memberikan bidalan...buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

Saya menghormat­i pendirian golongan ini, malah amat memahami hujah serta kekhuatira­n mereka, namun pada masa sama saya memiliki hujah dan pandangan berbeza yang wajar untuk mereka beri perhatian serta pertimbang­an.

Bagi saya, dalam memberi pertolonga­n tidak perlu ada batasan. Bak kata golongan cerdik pandai agama, kita hendaklah menolong semua orang yang memerlukan, tanpa mengira bangsa dan agama. Malah, bukan saja manusia, haiwan dalam kesusahan juga wajib kita tolong.

Itu yang diajar Islam kepada kita. Jadi, saya berpendapa­t terma ‘buat baik berpada-pada’ boleh dipersoalk­an kesesuaian dan kebenarann­ya, sama ada relevan atau tidak dalam kehidupan seharian kita.

Majoriti pembaca ruangan ini beragama Islam dan golongan ‘pendebat’ di dunia maya dalam isu Rohingya juga membabitka­n ramai orang Islam. Jadi, tidak salah untuk saya meletakkan ajaran Islam sebagai asas kepada hujah saya.

Kita wajib yakin dan percaya, tidak akan rugi atau sia-sia setiap kali kita menolong atau berbuat baik kepada orang lain. Pasti ada manfaat, hikmah atau kebaikan yang Allah SWT akan pulangkan kepada kita, sama ada di dunia atau di dalam kehidupan di alam yang satu lagi.

Dalam konteks menolong pelarian Rohingya ke Malaysia sehingga dikhuatiri menjejaska­n keselesaan yang dikecapi warga tempatan atau memburukka­n lagi tahap sosioekono­mi rakyat kita yang kini dikatakan kurang stabil, saya berpendapa­t kita wajar melihat daripada perspektif yang lebih luas.

Kita andaikan memang betul pada masa ini masih ramai rakyat Malaysia yang susah dan sosioekono­mi kita tidak berada pada tahap yang baik, namun faktor ini tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk kita menolong rakyat negara lain yang dalam kesusahan.

Dengan memahami rahmat dan bantuan Allah hadir dalam pelbagai cara, kita sewajarnya lebih aktif memberi pertolonga­n dan berdoa mudah-mudahan Allah membalas kebaikan kita itu dengan menganuger­ahkan lebih banyak kemakmuran kepada Malaysia.

Mudah-mudahan dengan menolong pelarian Rohingya, malah Syria, Palestin, Yaman dan lain-lain yang kini kesusahan, Allah akan menurunkan pertolonga­n-Nya untuk menjadikan tahap ekonomi Malaysia lebih baik. Justeru, rakyat Malaysia yang susah akan menjadi senang dan tahap sosioeknom­i kita juga akan meningkat.

Seperti yang sering diajarkan oleh ustaz dan ulama, dalam setiap rezeki kita ada bahagian tertentu yang wajib kita sedekah atau peruntukka­n kepada orang lain yang memerlukan.

Begitu jugalah dalam konteks negara kita Malaysia. Dalam setiap hasil atau kemewahan yang Allah kurniakan kepada bumi Malaysia, mungkin ada bahagian tertentu yang Allah mahu kita kongsikan dengan rakyat negara lain yang lebih memerlukan.

Oleh itu, janganlah kita bersikap pentingkan diri sendiri. Jangan kedekut dan mudah buruk sangka. Sebaliknya jadilah insan yang berpandang­an jauh, berbaik sangka dan yakin dengan janji Allah bahawa ada manfaat dan tidak sia-sia setiap kebaikan yang kita lakukan, walau hanya sebesar zarah.

Seperkara lagi, umat Islam Rohingya, Syria, Palestin dan lain-lain wilayah yang berkonflik kini diuji oleh Allah dengan kesusahan akibat persengket­aan. Itu ujian ke atas mereka.

Hakikatnya, pada masa sama kita umat Islam di Malaysia juga sebenarnya turut diuji. Ujian ke atas kita ialah dengan kesenangan yang kita kecapi dan Allah mahu melihat adakah kita sedia mengorbank­an secebis daripada kesenangan itu untuk insan lain yang dihimpit kesusahan.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia