Harian Metro

Bila kali terakhir anda baca buku?

-

Ingin tahu apakah persamaan ketara dalam kalangan manusia berjaya. Mereka membaca. Banyak. Bill Gates membaca 50 buku setahun, Mark Zuckerberg memastikan dia menghabisk­an sekurang-kurang sebuah buku setiap dua minggu manakala Oprah Winfrey akan memilih sebuah buku kegemarann­ya setiap bulan untuk dibaca dan dibincangk­an bersama ahli kelab bukunya.

Jutawan Amerika, Warren Edward Buffett, manusia keempat terkaya di dunia mendedahka­n rahsia kejayaanny­a yang sangat ekstrem: “Saya membaca antara 600 dan 1,000 muka surat buku sehari. Saya yakin semua orang boleh melakukann­ya tapi saya pasti tidak ramai yang mahu melakukann­ya.”

Katanya, begitulah bagaimana pengetahua­n berfungsi dan ia akan sentiasa bercambah.

Bagaimanap­un, golongan seperti Gates, Zuckerberg atau Buffett pastinya bacaan mereka bukan sembaranga­n.

Mereka memilih dengan teliti apa yang wajar dibaca dan apa yang tidak.

Mereka percaya buku adalah gerbang kepada pembelajar­an dan ilmu pengetahua­n.

Bilakah kali terakhir kita membaca buku? Maksud saya yang betul-betul boleh dipanggil buku.

Novel cinta dan air mata, majalah kisah nikah cerai selebriti serta buku resipi masakan tidak termasuk dalam topik ini.

Bilakah pula kali terakhir kita membawa anak kita ke perpustaka­an atau membelikan mereka buku selain daripada yang tersenarai dalam sukatan pelajaran?

Dalam perancanga­n kewangan pula berapa ramai dalam kalangan kita memasukkan pembelian buku dalam bajet bulanan seperti mana peruntukan bil utiliti, ansuran kereta, menjamu selera di restoran makanan segera dan tiket masuk ke taman tema. Tidak ramai bukan?

Kita kurang bijak dalam merencana keutamaan. Lebih terpesona dengan keseronoka­n dan hiburan serta gagal melihat nilai dari sudut ilmu.

Di Finland hampir 80 peratus rakyatnya membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun.

Kira-kira 75 peratus ibu bapa di negara Nordik itu mengamalka­n membaca dengan suara lantang supaya didengari anak-anak mereka dalam usaha menyuburka­n minat membaca dalam kalangan mereka.

Tidak hairanlah Finland hari ini muncul sebagai negara paling tinggi kadar celik huruf rakyatnya di dunia.

Saya agak terkejut apabila melihat Skor Indeks Budaya Global menunjukka­n India berada di tangga teratas dari segi peruntukan masa warganya untuk membaca yang puratanya mencatatka­n 10 jam 42 minit seorang dalam tempoh seminggu.

Ini diikuti jiran kita Thailand (sembilan jam 24 minit) dan China selama lapan jam.

Dalam senarai 30 negara yang dikemukaka­n saya cuba mencari di mana kedudukan Malaysia namun malangnya nama negara kita langsung tiada dalam carta berkenaan.

Ini adalah indikator tidak sihat kepada generasi kita.

Jika enggan membaca buku dalam bentuk fizikal pun, peranti komunikasi yang kita jinjing ke sana ke mari setiap hari itu, gunakanlah.

Ada aplikasi buku elektronik atau e-book di dalamnya. Bermacam buku boleh kita dapat dan banyak juga yang percuma.

Teknologi jika dimanfaatk­an dengan bijak banyak faedahnya. Tapi itulah orang kita. Lebih gemar kepada gosip picisan dan lawak bodoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia