Harian Metro

Rugi RM26,000 ditipu ‘ejen pemaju’

-

Rawang: Impian seorang lelaki untuk membina rumah di tanah sendiri tidak kesampaian apabila ditipu individu yang menyamar ejen syarikat pemaju.

Mangsa, eksekutif syarikat swasta dikenali sebagai Nizam, 35, berkata, dia berurusan dengan ejen dikenali sebagai Azli apabila terlihat iklan pada kain rentang yang diletakkan di kawasan rumah sewanya.

“Memang sudah lama saya mencari ejen atau pemaju yang boleh membina rumah atas tanah sendiri dengan harga murah. Sebelum ini, sudah empat kali saya berurusan dengan empat pemaju berbeza tetapi semuanya menawarkan harga paling murah sekitar RM160,000.

“Bagaimanap­un, menerusi ejen ini, saya tertarik dengan reka bentuk rumah berharga RM80,000 yang menawarkan rumah setingkat seluas 1,200 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya.

Menurut Nizam, perkara yang membuatkan dia tertarik apabila diyakinkan bahawa kos pembinaan itu murah berikutan menggunaka­n kaedah pemasangan kerangka besi yang tidak memerlukan pembinaan struktur tiang bercerucuk.

Kerana percaya, dia menyerahka­n RM6,000 sebagai wang pendahulua­n sebelum lelaki itu menghantar beberapa barangan pembinaan di atas tanah miliknya.

“Di situ, lelaki itu membina bangsal kayu dan meletakkan barangan di dalamnya sebelum memaklumka­n memerlukan sekitar RM20,000 untuk membeli barangan pembinaan lain.

“Disebabkan percaya, saya pindahkan wang berkenaan ke akaun lelaki itu, namun sehingga kini saya gagal menghubung­inya,” katanya.

Menurut Nizam, langkah terakhir dia pergi ke alamat syarikat pemaju perumahan seperti yang tertera pada kain rentang dan terkejut apabila wakil syarikat itu memaklumka­n tidak mempunyai ejen bernama Azli selain memintanya membuat laporan polis kerana sudah menjadi mangsa penipuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia