Harian Metro

Main-main disambar api

- Ibrahim Isa Ibrahim@hmetro.com.my

 Budak leka belek pengisar besi melecur terkena percikan di bengkel motosikal bapa

Kesibukan menutup kedai menyebabka­n seorang peniaga tidak sedar anak lelakinya berusia 12 tahun leka bermain mesin pengisar besi hingga mengeluark­an percikan api dan menyambar minyak di lantai mengakibat­kan kanak-kanak itu melecur di muka, kaki, kedua-dua tangan serta badan di bengkel motosikaln­ya di Jalan Pandan Tebrau-Majidee, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinai­n Jais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.55 malam dan pasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian menjalanka­n siasatan.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kedai motosikal yang juga deretan kedai kayu satu tingkat di tepi Jalan Tebrau menghala ke Kota Tinggi dalam keadaan baik dan tidak terbakar.

“Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, kami diberitahu ketika kejadian, pemilik kedai, Teoh Kaw Leng, 41, dan pekerja sibuk mengemas menutup perniagaan dan tidak perasan anaknya, Teoh Hwa Teik, bermain mesin pengisar besi.

“Hasil percikan api itu mengenai tumpahan minyak di atas lantai menyebabka­n kawasan itu terbakar lalu menyambar anak mangsa, mangsa dan seorang pekerjanya.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu membantu memadamkan api dan Kaw Leng serta pekerjanya hanya cedera ringan di kaki, manakala Hwa Teik melecur di muka, kaki, kedua-dua tangan dengan 80 peratus kecederaan di badan,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat tiba selepas kebakaran dipadamkan dan menghantar mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan.

Katanya, pemilik kedai dan pekerjanya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala kanak-kanak itu menerima rawatan di wad serta dilaporkan stabil.

“Pemilik bengkel itu belum membuat laporan dan kami pasukan bomba dan penyelamat masih menyiasat jumlah kerugian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Saiful Bahri Safar berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.55 malam, pasukan tujuh anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi membabitka­n satu jentera dan kenderaan perkhidmat­an perubatan kecemasan (EMRS).

“Apabila tiba, kami dapati kebakaran pada tubuh mangsa dipadamkan dan mangsa yang melecur dihantar ke HSI untuk rawatan menggunaka­n kenderaan EMRS.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan sambaran api dan tiada sesiapa yang merokok ketika kejadian,” katanya.

 ??  ?? KANAK-kanak yang melecur di muka, kaki dan tangan akibat bermain mesin pengisar besi di bengkel motosikal bapanya di Johor Bahru, semalam.
KANAK-kanak yang melecur di muka, kaki dan tangan akibat bermain mesin pengisar besi di bengkel motosikal bapanya di Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia