Harian Metro

Hayati tanda kebesaran Ilahi

Usah terpedaya kelebihan manusia sehingga lupa segalanya bersumber Allah

-

FAKTA Manusia bersifat lemah dan tidak berkuasa namun

Allah yang mengurniak­an kelebihan itu

Kelebihan dimiliki sebahagian manusia kadang-kadang membuatkan kita berasa takjub. Hakikatnya, semua kehebatan dan kelebihan itu datangnya daripada Allah SWT.

Manusia bersifat lemah dan tidak berkuasa, namun Allah yang mengurniak­an kelebihan itu.

Setiap orang Islam mengakui Allah adalah Tuhan yang memiliki segala sifat kesempurna­an. Dialah Tuhan yang Maha Hebat dan tiada satu pun yang dapat menandingi kehebatan serta kekuasaan Allah.

Malah, dalam ungkapan syahadah di dalam tahiyyat awal dan tahiyyat akhir ketika solat, Allah memberikan penyaksian yang cukup jelas Dia sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya serta menafikan kewujudan kuasa lain selain daripada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptaka­n langit dan bumi dalam enam masa lalu, Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringi­nya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptaka­n) matahari dan bulan serta bintang-bintang,

(semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptaka­n (sekalian makhluk) dan urusan pemerintah­an. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirk­an sekalian alam.” (Surah al-A’raf, 54)

Sedarlah hanya Allah selayaknya mendapat pujian daripada makhluk-Nya. Usah terpedaya dengan kelebihan dimiliki sesama makhluk sehingga lupa segalanya datang daripada Allah.

Allah berkuasa menimpakan mudarat dan mengurniak­an nikmat kepada hamba-Nya. Tidak ada kuasa lain yang boleh menandingi kehebatan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapapun yang dapat menghapusk­annya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahka­n) engkau dengan kebaikan, maka Dialah yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Maha Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dangan tadbir dan takdir); dan Dialah yang Maha Bijaksana serta amat mendalam pengetahua­n-Nya.” (Surah Al-An’am, ayat 17-18)

Sebenarnya, banyak ayat al-Quran menjelaska­n kehebatan dan keagungan Allah. Semua ayat itu perlu dibaca, difahami dan dihayati supaya diri sentiasa teguh menyaksika­n keagungan Allah.

Lihat pada kelebihan yang ada pada diri dan bersaksila­h semuanya itu bukan milik kita tetapi kurniaan daripada Ilahi.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktika­n kekuasaan-Nya (menghidupk­an kamu semula), bahawa Dia menciptaka­n kamu daripada tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.” (Surah ar-Rum, ayat 20)

Lihat juga pada penciptaan langit dan bumi. Ketika kita berjalan di atas muka bumi, renungi kehebatan Allah yang menciptaka­n langit tanpa sebarang pasak atau tiang.

Tidak ada manusia yang mampu mencipta langit lain bagi menandingi langit ciptaan Allah. Begitu juga dengan penciptaan manusia terdiri daripada pelbagai bangsa, rupa, warna kulit dan bahasa.

Itu membuktika­n kekuasaan Allah tidak terbatas hanya kepada penciptaan satu bentuk atau ciri manusia.

Sebaliknya, Allah menciptaka­n manusia yang memiliki kepelbagai­an menarik untuk diamati.

Terjadinya waktu malam dan siang, adakah kita lupa memikirkan kehebatan Allah yang berkuasa menukarkan waktu siang kepada malam, manakala malam kepada siang yang sentiasa silih berganti?

Kita berasa takjub dengan kelebihan manusia, namun kita lupa kehebatan Allah yang dapat disaksikan setiap hari.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktika­n kemurahann­ya dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhn­ya keadaan yang demikian mengandung­i keterangan-keterangan bagi orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).” (Surah ar-Rum, ayat 23)

Semua itu dijelaskan Allah di dalam al-Quran. Dia memerintah­kan kita untuk memikirkan dan menginsafi kehebatan kekuasaan-Nya berdasarka­n tanda yang berada di sekeliling hidup kita.

Tanda-tanda itu masih ditunjukka­n di depan mata. Mengapakah kita tidak merenungi semuanya? Ambil masa untuk menghayati tanda kekuasaan Allah supaya iman kita semakin mantap dan tidak goyah hanya kerana melihat kelebihan manusia yang hakikatnya sarat dengan kekurangan.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia