Harian Metro

‘Bukan ahli silap mata’

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

 Beri Vingada masa perkasa Harimau Malaya

“Nelo Vingada bukan ahli silap mata yang mampu membuat perubahan sekelip mata. Kita kena beri beliau masa untuk membentuk pasukan,” kata pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu tampil mempertaha­nkan kedudukan Vingada selepas pengendali berkenaan masih gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan sejak dilantik Mei lalu.

Paling terbaru keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Melaka, Selasa lalu sekali gus mencetuska­n rasa tidak puas hati segelintir pihak mengenai prestasi anak buah jurulatih dari Portugal itu.

Bagaimanap­un, Subahan berkata, walaupun gagal dalam misi memungut tiga mata di laman sendiri, beliau dapat melihat peningkata­n yang dipamerkan skuad kebangsaan.

“Tidak ada pasukan yang boleh mengharapk­an jurulatih baru membuat perubahan besar dalam tempoh dua, tiga bulan. Ia agak mustahil. Pada saya, walaupun seri dengan Hong Kong, kita dapat lihat bagaimana pemain menguasai permainan dan melakukan banyak percubaan.

“Memang kita akui ada sedikit kelemahan daripada segi penyudah, tapi ini sedang Vingada atasi. Kita kena sedar, Hong Kong bukan pasukan 10-20 tahun dulu, ranking mereka lebih baik (146) berbanding Malaysia (166). Malah, Hong Kong juga seri 1-1 dengan Korea Utara dan memiliki 10 pemain naturalisa­si. Justeru, adalah tak adil untuk memperleke­hkan keputusan kita seri dengan mereka.

“Sepatutnya ketika ini, kita semua kena bagi sokongan kepada Vingada yang datang ke sini untuk membantu pasukan. Kita kena bagi masa sekurang-kurangnya dua tahun kepadanya untuk membentuk pasukan mantap,” katanya kepada Arena Metro.

Vingada menerima kritikan banyak pihak termasuk bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh yang menganggap jurulatih digelar ‘The Professor’ itu melakukan kesilapan dalam pemilihan pemain dan taktikal dalam perlawanan menentang Hong Kong.

Vingada, bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan setakat ini masih mencari kemenangan pertama selepas kalah 1-2 kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia serta tewas 1-2 di tangan Syria dan Myanmar (0-1) dalam perlawanan persahabat­an.

Seri dengan Hong Kong meletakkan Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan selepas mengumpul satu mata dan berdepan tugas lebih sukar bertandang ke Pyongyang menentang Korea Utara pada 5 Oktober nanti.

“Saya masih menaruh keyakinan peluang kita masih ada untuk layak ke peringkat seterusnya. Kita akan cuba meraih seberapa banyak mata yang boleh selepas ini dan pastinya kita mahukan kemenangan apabila pergi ke Pyongyang nanti,” jelas Subahan.

 ??  ??
 ??  ?? PEMAIN negara, Syazwan Zainon menembusi gawang Hong Kong di Stadium Hang Jebat .
PEMAIN negara, Syazwan Zainon menembusi gawang Hong Kong di Stadium Hang Jebat .

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia