Harian Metro

Pemain perlu lebih bertanggun­gjawab

-

Kuantan: Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan berkata, beliau hanya mampu memberikan tunjuk ajar dan motivasi kepada pemain dan selebihnya terpulang kepada mereka membuktika­n komitmen terhadap pasukan.

Jurulatih dari Indonesia itu berkata, sebagai pemain, mereka perlu sedar dengan tanggungja­wab masing-masing dan ia mula dipikul sebaik menandatan­gani kontrak bersama pasukan.

Katanya, kegagalan Mohd Nor Hakim Hassan yang juga penyerang T-Team untuk kembali selepas saingan Liga Malaysia berehat tidak sepatutnya berlaku.

“Bagi saya, seorang pemain tahu apa tanggungja­wab mereka sebaik menandatan­gani kontrak dengan pengurusan dan perlu sedia menerima segala keputusan.

“Kami ada menghubung­i Hakim tetapi tiada perkembang­an terbaru melihat dia kembali bersama pasukan. Saya sebagai jurulatih hanya boleh memberikan motivasi untuk pemain bersikap baik kepada diri sendiri dan rakan sepasukan.

“Sebenarnya, Hakim tidak menghadapi masalah untuk bersama T-Team kerana dia dan semua rakan sepasukan tahu tempat menjalani latihan,” katanya.

Baru-baru ini, pengurusan T-Team dilaporkan bakal mengenakan tindakan disiplin terhadap Mohd Nor Hakim selepas pemain itu gagal menjalani sesi latihan.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak hadir sejak perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United, 5 Ogos lalu dan pengurusan pasukan tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung kegagalann­ya itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia