Harian Metro

‘Suap’ pegawai SPRM

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@hmetro.com.my

Seorang pemandu lori terpaksa menyambut hari jadinya yang ke-45 tahun di tirai besi apabila dia dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memberi suapan kepada pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhka­n hukuman itu terhadap How Ah Lai selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintah­kan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum iaitu semalam.

Lelaki itu turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, How didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Zaki Johari, 34, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan sebuah lori yang membawa muatan pasir keluar dari kawasan perlombong­an di Presint 20 Putrajaya kepada pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tapak Perlombong­an Presint 20, antara jam 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, 11 Februari tahun lalu.

Dakwaan terhadapny­a dikemukaka­n mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Tertuduh memohon mahkamah memberikan­nya peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan dan memperbaik­i dirinya,” rayunya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nurdihana Rosdi memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Berdasarka­n fakta kes, pada 11 Februari 2016, operasi bersama Pejabat Tanah dan Galian dan SPRM di Tapak Perlombong­an Pasir Presint 20 Putrajaya mendapati tertuduh meneroka secara haram tanah milik kerajaan tanpa permit sah. Hasil pemeriksaa­n mendapati tertuduh mengakui dia pemilik lori dan menawarkan RM300 kepada pengadu bagi melepaskan lori pasir yang telah ditahan dan tidak mengganggu perlombong­an yang dijalankan.

 Pemandu lori rai ulang tahun ke-45 dalam penjara

 ??  ?? HOW (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah.
HOW (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia