Harian Metro

Penjara tiga bulan angkara amuk

-

Padah mengamuk di kantin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, bekas mekanik dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhka­n hukuman itu terhadap Hussin Mohd Yusoff, 36, selepas dia mengaku salah sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 September lalu.

Tertuduh dilihat adakalanya tersenyum sepanjang prosiding itu di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merusuh dan berkelakua­n tidak senonoh di balai polis itu dengan cara menjerit serta menghentak meja makan di kantin itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di IPD daerah ini pada 4.30 petang, 7 September lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM500 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan dia baru saja berpisah dengan isterinya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah mengenakan hukuman berat berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pengadu menerima panggilan telefon mengenai seorang lelaki yang sedang mengamuk dan membuat kecoh di kantin IPD berkenaan.

Lelaki itu secara tiba-tiba menjerit dan menghentak meja makan sebelum ditenangka­n oleh orang awam berhampira­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia