Harian Metro

Krisis tak halang kemajuan FELDA

-

Kuala Lumpur: Mesyuarat selama tiga jam bersama pengurusan kanan FELDA Global Ventures Holding Berhad (FGV) di Menara FELDA semalam memberi fokus kepada pelan dan usaha untuk meningkatk­an prestasi syarikat.

Pengerusi barunya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, langkah itu dilihat penting agar syarikat tampil kompetitif dan dapat mencapai pertumbuha­n mampan pada masa hadapan.

“Walaupun syarikat berhadapan krisis namun situasi ini bukan penghalang untuk terus meningkatk­an momentum perniagaan.

“Kita fokus yang baik-baik saja untuk selesaikan satu persatu masalah secara berperingk­at,” katanya selepas mempengeru­sikan mesyuarat di sini, semalam.

Ditanya mengenai status Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang dipaksa bercuti berkuat kuasa serta-merta oleh lembaga pengarah syarikat pada 6 Jun lalu, Azhar berkata, beliau akan mendapatka­n nasihat pihak berkepenti­ngan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

Katanya, perkara itu kemungkina­n akan dibawa pada aturan mesyuarat untuk dibincangk­an.

“Petang ini (semalam) kita bincang, mungkin (lambat) sikit. Nanti kita kena ambil nasihat (sebelum buat keputusan).

“Operasi syarikat kena berjalan. Jangan berhenti. Kita cuma nak pastikan prestasi syarikat kembali kepada landasan sebenar demi mengembali keyakinan dan menjaga semua pihak berkepenti­ngan termasuk pemegang saham,” katanya.

Sementara itu, Zakaria dilihat berada di Menara Felda semalam dan tiba kira-kira dua jam selepas bermulanya mesyuarat pengurusan yang dipengerus­ikan Azhar. - BERNAMA

 ??  ?? AZHAR
AZHAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia