Harian Metro

PERKONGSIA­N PENUH MAKNA

-

Kali pertama mendengar bual bicaranya di Radio IKIM, hati sudah berasa kagum dengan ketabahan Prof Dr Faridah Awang, anak Melayu pertama yang bergelar profesor penuh di Fakulti Pentadbira­n, Pemasaran dan Perniagaan Antarabang­sa, Eastern Kentucky Universiti, Amerika Syarikat. Apabila berpeluang menelaah buku Musafir Cinta 4 Musim ini, rasa kagum itu melonjak tinggi. Tidak mudah untuk seorang wanita Islam menongkah tangga kejayaan di bumi Amerika.

Namun bak kata arwah neneknya, Tok Wook, ‘satu hari nanti engkau akan ‘menjajah’ negara orang’ - menjadi penguat semangat Faridah untuk mencari ilmu walaupun terpaksa berpisah dengan Hafiz, anak tunggalnya yang baru berusia empat tahun. Seperti tulisannya yang puitis, dalam musim panas yang hangat, dia meniti kerikil tajam menerima didikan. Pada musim sejuk yang dingin, dia mendakap ujian getir dan akhirnya dalam musim panas yang mekar, wanita cantik ini menggapai bahagia.

Kisah hidup penulis di rantau orang wajar diambil perhatian

Perjalanan hidup Faridah yang kini mengajar di Amerika Syarikat agak getir. Pernah bekerja sebagai pencuci tandas, mengutip baju yang dibuang orang untuk dipakai semula dan makan sekali sehari menjadikan Faridah wanita yang tabah. Kesusahan ibu itu juga secara tidak langsung mendewasak­an Hafiz.

Walaupun dilanda kesusahan, Faridah tetap mempamerka­n prestasi pendidikan terbaik dan berjaya merangkul ijazah kedoktoran yang cemerlang. Pesan Tok Wook supaya menjadi orang yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi (serba serbi boleh) sentiasa dipegang kemas.

Namun dalam soal cinta, Faridah mengakui dia bukanlah wanita bertuah.

Dia mengambil masa yang lama untuk menerima kehadiran orang baru selepas perkahwina­n pertamanya berakhir. Ramai lelaki yang menaruh minat padanya, tetapi hatinya tidak terbuka sehinggala­h bertemu suami kedua, Sheikh Al-Haddad yang banyak mendidik dia dan Hafiz mengenai agama, ketuhanan serta kehidupan.

Dapatkan buku ini untuk mengetahui kenapa dia terpaksa berpisah dengan suami tercinta dan bagaimana Faridah mula ‘terjun’ dalam dunia dakwah yang membangunk­an beberapa sekolah agama di Amerika Syarikat. Buku yang diserikan dengan banyak gambar menarik dan falsafah hidup ini berjaya memberi inspirasi kepada ramai orang - terutama kata-kata hikmahnya:

Janji Dengan Allah, Hidup Bermisikan Akhirat!

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia