Harian Metro

Masih mencungap mengejar RM75 juta

- Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Ada Janna Nick, ada Aaron Aziz, ada Izara Aishah dan ramai lagi artis top tanah air, tetapi tiada jaminan filem lakonan hero dan heroin pujaan itu boleh laku di pawagam. Tinggal tiga bulan saja sebelum 2017 berlabuh, kutipan filem tempatan masih lagi tercungap-cungap untuk mencapai sasaran RM75 juta yang dituntut Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional).

Jumlah itu kurang RM4 juta berbanding 2016, Finas mensasarka­n RM79 juta dan ketika itu filem Munafik arahan Syamsul Yusof meraih kutipan paling tinggi iaitu RM19 juta. Untuk 2017, mengikut perancanga­n sejumlah 400 filem tempatan ditayangka­n dan setakat ini berdasarka­n informasi Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas Syimir Alfi Zahari, dari Januari hingga Ogos sebanyak 366 filem tempatan termasuk filem Cina dan India tempatan sudah pun menemui penonton di pawagam seluruh tanah air.

Jika Sukan Asia Tenggara (SEA Games) ke-29 lalu, negara selaku tuan rumah menyeru rakyat agar ‘bangkit bersama’ bagi mencapai sasaran 111 pingat emas (akhirnya melepasi sasaran dengan 145 pingat emas), agak mengecewak­an di persada hiburan tanah air yang kita acap kali dimomokkan dengan glamor, penuh prestij di festival dan anugerah gilang gemilang, malangnya untuk sasaran RM75 juta diharapkan itu nampak gaya masing-masing bakal ‘kuncup bersama’ dengan mengambil kira ada filem hanya mengutip sekitar RM4,000.

Peminat drama televisyen (TV) pasti menyedari siapa dan siapa laris, seolah-olah tidak berseri stesen jika tiada wajahnya menghiasi drama TV. Diantarany­a semestinya Janna yang mempunyai ribuan penyokong di Instagram, tetapi nyatalah majoriti penyokong (peminat) yang menyokong artis hanya syok sendiri. Seandainya penyokong itu spesies tegar sanggup berkorban untuk artis kesayangan mereka, tidak mungkin filem Kerja Kahwin lakonan Janna dan Datuk Rosnani Jamil, diarahkan oleh Anwardi Jamil hanya mengutip RM15,293.76.

Nasib sama menimpa filem Pencuri Hati Mr Cinderella lakonan Atikah Suhaimie dan Ahmad Idham yang memasuki tayangan pada 10 Ogos lalu mengutip RM18,864.50. Filem Adiwiraku (RM99,000), Sindiket (RM84,000), Aku Haus Darahmu (RM60,000), ‘Soulmate’ Hingga Ke Jannah (RM25,000), Hijabsta Ballet lakonan pendatang baru, Puteh Maimon Zahra, Aman Graseka dan Betty Banafe mengutip 16,013.63, filem Tamil tempatan Puthiya Payanam mengutip RM6,651.30, Kamar Seksa (RM15,034.20) dan Spy In Love mengutip RM4.059.00.

Kemerosota­n penonton di pawagam ada pelbagai faktor dan antara paling popular ialah langkah berjimat cermat orang ramai dengan alasan ekonomi negara yang tidak menentu. Untuk menempelak penonton kita tidak sokong filem tempatan sukar juga apabila filem Abang Long Fadil 2 lakonan Zizan Razak, Datuk AC Mizal dan Tania Hudson kini sudah mengutip RM13 juta.

Filem arahan Syafiq Yusof itu masih lagi ditayangka­n di beberapa pawagam di tanah air. Sukar menidakkan filem arahan kedua-dua anak tokoh perfileman Datuk Yusof Haslam ini tidak pernah mengecewak­an. Ada yang kata ini era kebangkita­n pengarah muda seperti Syamsul dan Syafiq, namun ramai juga pengarah muda seusia mereka di luar sana tidak bangkit-bangkit.

Sempat penulis bertukar fikiran dengan wartawan senior Metro Ahad, Rudy Imran mengenai kejayaan filem arahan Syamsul dan Syafiq dan nyata ada kemugkinan jenama Skop Production itu sudah terpetri dapat memberi kepercayaa­n kepada penonton untuk terus menyokong produk mereka. Sebagai ayah juga pemilik syarikat itu, pastilah Yusof boleh tersenyum bangga kerana legasi untuk meneruskan perjuangan­nya dalam arena perfileman tanah air tiba masa beliau mengundur diri atau ‘pejam mata’ sudah ada iaitu darah dagingnya sendiri.

Berbeza beberapa syarikat filem lain sebelum ini yang diusahakan oleh tokoh perfileman bukan saja tiada legasi, bahkan banyak juga terpaksa gulung tikar seperti JD Production milik Julie Dhalan (Allahyarha­mah) sekalipun ada anak-anak beliau masih bergiat aktif di arena perfileman tanah air, namun legasi bonda mereka tidak dapat diteruskan.

Perihal David Teo juga menarik, jika suatu ketika dulu ‘tauke’ Metrowealt­h (MIG) ini ligat mengeluark­an filem tempatan, paling banyak pada 2012 dengan 18 filem, 2013 (7 filem), 2010 (11 filem), 2014 (14 filem), 2015 (10 filem), 2011 (9 filem), tetapi pada 2016 hanya 4 filem sahaja diterbitka­n. Sekalipun filem MIG tidak terkecuali dikritik hebat, kehadiran filem syarikat itu serba sedikit memeriahka­n lagi perusahaan filem tempatan, sekali gus menjadi saluran untuk pelakon dan tenaga produksi mencari makan.

Untuk salahkan 100 peratus faktor ekonomi, berbalik kembali strategi promosi yang seharusnya dilakukan oleh pihak penerbit sebelum filem mereka memasuki pasaran. Majoriti lokek untuk mengeluark­an kos bagi tujuan promosi sama ada di media cetak dan elektronik, lalu bukanlah aneh jika kita tiba-tiba mendapat tahu ada filem itu dan ini sudah ditayangka­n di pawagam.

Bagi yang menerbitka­n filem mengeluark­an duit sendiri, bolehlah dimaafkan sekiranya bajet promosi itu tidak dapat disediakan, tetapi sungguh tidak wajar kepada produser yang mendapat dana serta pelbagai insentif disediakan Finas, bersikap ‘tahi hidung masin’ seperti mana penulis hadir dalam tayangan Gala Nite sebuah filem, makanan disediakan untuk tetamu jika diukur lebih enak diterima oleh mangsa banjir, untuk minuman pula terpaksa berbaris menunggu Bangla buat air sediakan. Jika menjamu tetamu sudah lokek, usah mimpilah filem boleh laku.

 ??  ?? BARISAN pelakon filem Abang Long Fadil 2.
BARISAN pelakon filem Abang Long Fadil 2.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia