Harian Metro

Sekatan lagi untuk Pyongyang

-

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Majlis Keselamata­n Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengenakan sekatan baru terhadap Korea Utara, dengan menyekat pengekspor­tan tekstil serta penghantar­an produk minyak bagi menghukum Pyongyang susulan ujian nuklear terbesarny­a baru-baru ini.

Dengan sokongan China dan Russia, majlis itu menerima resolusi dibuat Amerika Syarikat (AS) hanya sebulan selepas menyekat eksport arang batu, timah serta makanan sebagai tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara.

Duta AS, Nikki Haley berkata, langkah baru itu sebagai peringatan kepada Pyongyang yang ‘dunia tidak akan menerima senjata nuklear di negara itu’ tetapi turut menyuaraka­n kemungkina­n resolusi damai terhadap krisis berkenaan.

“Kami tidak mencari peperangan. Rejim Korea Utara belum melepasi tahap di mana ia tidak lagi mungkin dapat menghentik­an.

“Sekiranya Pyongyang tetap meneruskan usahanya itu, kami akan berterusan memberi tekanan kepadanya. Pilihan di tangan mereka,” kata Nikki.

Sementara itu, kerajaan Korea Selatan mengalu-alukan resolusi itu dengan menganggap­nya amaran serius bahawa provokasi berterusan Korea Utara hanya akan terus menyebabka­n ia terus diasingkan dari segi diplomatik serta ekonomi.

Ketika rundingan diadakan, AS menggugurk­an permintaan awal untuk sekatan penuh minyak dan membekukan aset asing pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un sebagai usaha memenangi sokongan China serta Russia.

Resolusi itu sebaliknya menyekat eksport tekstil serta menghentik­an penghantar­an gas asli ke Korea Utara.

Ia turut menghalang negara lain mengeluark­an permit kerja baru kepada buruh negara itu. Kira-kira 93,000 rakyat Korea Utara bekerja di luar negara bagi menyalur dana kepada rejim negara itu membangunk­an program peluru berpandu dan nuklearnya, kata jurucakap AS. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia