HARIAN METRO PILIHAN TERBAIK BERITA

Harian Metro pilihan terbaik sumber berita

Harian Metro - - Muka Depan - Garret Dawum garret@hmetro.com.my

Akhbar Harian Metro disenaraikan sebagai pilihan terbaik untuk bacaan santai dan menghiburkan menurut Laporan Berita Digital 2017 oleh Institut Pengajian Kewartawanan Reuters.

Dalam laporan terbaru itu yang mendedahkan pandangan baru berkenaan penggunaan berita digital berdasarkan kaji selidik YouGov, ia membabitkan lebih 70,000 pengguna berita dalam talian di 36 negara Eropah, Asia Pasifik dan Amerika termasuk Malaysia.

Berdasarkan kajian, seramai 2,108 responden berusia 18 tahun ke atas daripada Malaysia terbabit dengan 27 peratus pengguna mengatakan akhbar Harian Metro santai dan menghiburkan.

Selain itu, Harian Metro juga menjadi pilihan pertama untuk media cetak dengan 27 peratus mengatakan mereka menggunakan akhbar berbahasa Melayu itu dalam tempoh seminggu.

“Berita TV3 digunakan sebanyak 48 peratus, The Star digunakan 34 peratus, Astro Awani (31 peratus), NTV7 (31 peratus), Berita Harian (25 peratus), TV9 (24 peratus), Radio Televisyen Malaysia (22 peratus), 8TV (20 peratus), Utusan Malaysia (19 peratus), CNN (19 peratus), BBC News (16 peratus), New Straits Times (16 peratus), Kosmo (15 peratus), Al-Hijrah (15 peratus) dan The Sun Daily sebanyak 12 peratus dalam tempoh sama.

“Begitu juga dengan penggunaan mingguan platform dalam talian yang menunjukkan Harian Metro Online digunakan sebanyak 21 peratus di belakang Malaysiakini yang digunakan sebanyak 43 peratus, The Star Online (33 peratus) dan Yahoo! News 25 peratus,” kata laporan itu.

Memberi tumpuan laporan kepada isu seperti kepercayaan pada era berita palsu, perubahan model perniagaan dan peranan platform, sebanyak 22 peratus mengatakan Harian Metro adalah terbaik untuk pemahaman isu kompleks, 19 peratus berpendapat Harian Metro terbaik untuk pandangan yang kuat dan 17 peratus pula mengatakan Harian Metro terbaik dari segi ketepatan.

Dalam pada itu, laporan itu juga menyebut 20 peratus pengguna sanggup membayar bagi mendapatkan berita dalam talian dengan 45 peratus menggunakan komputer untuk mendapatkan sumber berita, 18 peratus menggunakan tablet dan 65 peratus menggunakan telefon pintar.

Dapatan kajian juga melaporkan 29 peratus percaya dengan berita secara keseluruhan dan 32 peratus percaya dengan penggunaan berita yang diperolehi.

“Hanya 16 peratus pengguna berita digital di Malaysia mengatakan berita bebas dari pengaruh politik yang tidak wajar dan 18 peratus mengatakan ia bebas dari pengaruh komersial yang tidak wajar.

“Pengguna di Malaysia juga menganggap pemilikan dan kawalan oleh rejim tertentu secara melampau terhadap media tempatan, ditambah dengan berita palsu serta propaganda rejim membuatkan ramai yang tidak percaya sehingga beralih kepada media sosial untuk mendapatkan sumber berita,” kata laporan itu lagi.

Tambah laporan itu, sebanyak 58 peratus menggunakan Facebook untuk mendapatkan berita, 51 peratus menggunakan WhatsApp, 26 peratus (Youtube) dan masing-masing 13 peratus mendapatkan berita menerusi Wechat serta Instagram.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.