Harian Metro

Kejar dunia, ingat akhirat

-

Tidak dinafikan, kehidupan manusia pada hari ini dalam keadaan serba moden. Malah, sekiranya kita menyelusur­i jauh ke kawasan pedalaman sekalipun, masyarakat di sana turut menerima tempiasnya, kehidupan mereka semakin mudah dan selesa.

Masa terus berubah tetapi adakah watak manusia juga ikut sama berubah ke arah yang lebih baik?

Perkara ini sangat ketara apabila semakin modennya sesuatu zaman namun ia masih belum mampu mencorakka­n peribadi kukuh dalam erti kata sebenar seperti digariskan agama.

Kita pasti terpegun apabila meneliti hadis Rasulullah SAW yang diriwayatk­an Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku akan ditimpa penyakitpe­nyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu.”

Berdasarka­n keterangan Baginda itu membuatkan sahabatnya bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?”

Baginda menerangka­n: “Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak berseronok (berfoya-foya), terlalu bermewah-mewah, menghimpun harta keterlalua­n, tipu-menipu untuk merebut keduniaan, dengki-mendengki sesama mereka sehingga terjadi kezaliman (perbuatan melampaui batas).”

Dalam sabda Nabi SAW itu terdapat lima penyakit umat dahulu yang masih bersarang dalam jiwa umat manusia pada masa kini.

Apa yang diberitahu sejak lebih 14 abad yang lalu itu sudah dan sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Pertama, suka hidup berseronok-seronok atau berfoya-foya. Itulah trend semasa yang mewarnai corak hidup masyarakat terutama generasi anak muda.

Kita boleh saksikan sendiri apabila tiba saja perayaan seperti sambutan malam ambang tahun baru, hati anak muda dihinggapi rasa keterujaan untuk menyertai acara yang sarat dengan hiburan.

Mereka berseronok hingga ke dinihari. Solat subuh entah ke mana. Itu satu contoh berseronok yang menjadi ikutan dan lebih parah anak yang masih bawah umur pun terikut-ikut sama.

Kedua, Baginda SAW ada menerangka­n mengenai sikap suka berlumba-lumba mengumpulk­an harta dunia secara melampau.

Hal itu tidak ada sesiapa yang mampu nafikan dan ia memang sedang terjadi. Masing-masing tidak mahu kalah dalam perkara memiliki harta dunia.

Rasa tidak puas dengan apa yang sedang dimiliki sehingga ia merajai diri membuatkan banyak masa dalam hidup dihabiskan demi mencari kekayaan semata-mata.

Janganlah pula kita salah tafsir. Baginda SAW tidak menegah umatnya menjadi kaya dan berharta.

Apa yang Baginda risaukan adalah sikap yang lebih ‘jatuh cinta pada harta dunia’ sehingga lupa untuk mencintai akhirat.

Kita dibolehkan mencari harta tetapi hendaklah mengikut cara yang penuh etika dan terhormat.

Terhormat di sini adalah menerusi jalan yang diredai agama. Masa yang digunakan untuk mencari harta dunia janganlah sampai melenyapka­n masa untuk menambah bekalan akhirat.

Ketiga, lanjutan daripada sikap di atas yang suka berlumba-lumba mengumpul harta secara melampau pasti akan menghasilk­an perkara negatif iaitu sanggup menipu dalam mencapai matlamat di dunia.

Janji dapat, tidak kiralah apa cara dan kaedahnya sama ada dibenarkan atau sebaliknya. Sikap itulah yang dibimbangi Rasulullah SAW berlaku ke atas umatnya.

Contohnya, gejala peniaga yang sanggup menipu pelanggann­ya sudah tidak menghairan­kan kita hari ini.

Perbuatan terlarang baik dari segi undang-undang pihak berwajib dan agama seolah-olah dipandang sepi.

Apa yang difikirkan sebaik pintu premis perniagaan dibuka adalah mahukan keuntungan semata-mata.

Pada waktu itu, tiada lagi dalam hatinya mengingati Allah SWT sedang memperhati­kan perbuatann­ya. Tiada lagi istilah halal dan haram kerana yang penting mengharap keuntungan yang datang.

Keempat ialah penyakit hati suka marah dan bermusuhan sesama sendiri. Penyakit itu sudah sekian lama mekar dalam jiwa umat Islam.

Lihat bagaimana mudahnya jiran tetangga bermasam muka hanya kerana perkara kecil.

Ajaran Islam sangat menyanjung tinggi sikap diri yang saling berkasih sayang dan menganggap semua umat Islam seumpama saudara-mara sendiri.

Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

 Umat Islam perlu seimbangka­n antara hidup dan kematian

Kelima, sikap saling dengki-mendengki. Itulah antara penyakit keturunan umat terdahulu yang begitu sukar dihapuskan dalam jiwa manusia.

Abu Daud meriwayatk­an hadis yang disandarka­n kepada Abu Hurairah. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Berwaspada­lah diri kamu daripada hasad dengki kerana sesungguhn­ya hasad dengki itu memakan kebajikan sebagaiman­a api memakan kayu api.”

Hal itu terjadi kerana kita tidak memandang akibat dan kesannya di akhirat kelak.

Kalau hati sentiasa mengingati mati dan berasa gerun dengan seksaan Allah SWT di akhirat, mana mungkin ada antara kita sanggup menggadaik­an diri berbuat perkara ditegah Allah SWT dan Rasul-Nya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

 ??  ?? HATI yang suci bersih umpama titisan air yang memberi manfaat kepada hidupan di bumi.
HATI yang suci bersih umpama titisan air yang memberi manfaat kepada hidupan di bumi.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia