Harian Metro

Masuk syurga kerana doa malaikat

-

Siapakah golongan yang didoakan malaikat dan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama keluargany­a? Berikut adalah bacaan doa malaikat yang dinyatakan dalam ayat 7 dan 8 surah al-Mukmin.

Ayat itu bermaksud: “Malaikat yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang di sekeliling­nya bertasbih memuji Tuhannya dan beriman kepada-Nya serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman.

“Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya, maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharala­h mereka daripada azab neraka.

“Wahai Tuhan kami, masukkanla­h mereka ke dalam Syurga Adn yang Engkau janjikan kepada mereka dan orang yang layak antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhn­ya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Doa malaikat itu menyatakan dua perkara iaitu di atas muka bumi ini ada orang yang selalu didoakan oleh malaikat dan kedua, orang yang beramal baik didoakan seluruh malaikat supaya dimasukkan ke syurga bersama-sama seluruh ahli keluargany­a.

Al-Quran menceritak­an, pada setiap hari ada gemuruh malaikat pemikul Arasy serta malaikat lain di sekitarnya. Gemuruh itu adalah daripada zikir dan doa oleh malaikat yang sedang memuji kebesaran Allah SWT.

Allah SWT memberitah­u ciri-ciri itu dengan jelas iaitu mereka yang kembali dan mengikuti jalan Allah SWT. Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu dalam kesucian.

Dalam perjalanan hidup yang mereka tempuhi, mereka sering terpedaya dengan hawa nafsu dan meninggalk­an fitrah yang suci.

Fitrah itulah yang akan membisikka­n eleman kebaikan iaitu kejujuran, kesucian, ketaatan dan kepatuhan.

Selain itu, fitrah itu juga sering menegur apabila setiap kata dan sikap kita tidak sesuai dengan moral dan ajaran agama.

Orang yang menikmati kebahagiaa­n adalah apabila dia tersedar daripada lamunan dan kekeliruan, seterusnya akan segera kembali kepada fitrahnya.

Hati kita mudah tersentuh mendengar ayat-ayat Allah atau ketika sedang khusyuk ketika solat juga adalah hasil daripada fitrah yang suci itu.

Orang didoakan malaikat itu sebenarnya bukannya tidak pernah melakukan kesalahan namun mereka sedar akan kesalahan yang dilakukan itu lalu segera memperbetu­lkan dirinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia