Harian Metro

Beri kami masa: Koeman

-

Manchester: Jose Mourinho mengandaik­an Everton sepatutnya menyasarka­n penamat empat teratas selepas membelanja­kan 145 juta pound (RM821.9 juta) pada musim panas tetapi pengurus kelab Merseyside, Ronald Koeman berkata dakwaan rakan sejawatann­ya di Manchester United itu tidak realistik.

Komen Mourinho hadir menerusi kenyataan di buku program perlawanan sebelum United membelasah Everton 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Koeman bagaimanap­un berkata sasarannya masih belum berubah dari musim pertamanya di kelab itu apabila Everton menduduki tempat ketujuh dan beliau perlukan lebih masa sebelum dapat mencabar kelompok empat teratas.

“Ada sesiapa yang melihat ini sebagai realistik buat Everton? Tolonglah. Peminat, media - kami perlukan masa,” kata Koeman.

Everton berada dalam kelompok tiga tercorot selepas tewas tiga perlawanan Liga Perdana berturut-turut, bolos sembilan gol tanpa jaringan ke atas pasukan lawan. Mereka juga tewas 0-3 kepada kelab Itali, Atalanta dalam aksi Liga Europa minggu lalu.

“Apabila anda melihat kepada jadual pada permulaan musim, kami sedar tidak mampu memenangi kesemuanya,” kata Koeman.

“Kami sudah menentang Manchester City, United dan Chelsea di tempat lawan, selain Tottenham di tempat sendiri. Empat pencabar gelaran dengan Liga Europa di antaranya.”

Perlawanan Everton selepas ini adalah di laman sendiri menentang Bournemout­h, satu tangga di bawah mereka iaitu ke-19 pada Sabtu. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia