Harian Metro

USIA 27 TAHUN JELAJAH 29 NEGARA

- Shuhada Mansor

Bekas jurutera pembuatan anggap pengalaman

mengembara ajar lebih menghargai kehidupan

Ada berpendapa­t, untuk mengembara tidak perlu mengejar berapa banyak negara yang dijejak namun kenangan diperoleh lebih penting. Itu antara kata-kata dipegang Melissa Edith Inzunza Lopez, 27. Meskipun bagi kita, ia jumlah yang banyak namun tidak bagi gadis ini.

Gadis berasal dari Mexico ini beranggapa­n, meskipun ada rakan sebaya yang sudah menjelajah lebih 40 negara seluruh dunia, dia lebih gemar tinggal di satu-satu destinasi sekurang-kurangnya sebulan.

Dia yang pernah bekerja sebagai jurutera pembuatan di sebuah syarikat perubatan menganggap pengalaman di luar ketika mengembara mengajar lebih menghargai kehidupan.

TIDUR DENGAN LIPAS DAN TIKUS

Anak pertama daripada tiga beradik ini pernah berdepan beberapa situasi bahaya dalam pengembara­annya. Antaranya di tiga negara yang paling dia tidak dapat lupa.

“Saya masih ingat, pertama kali sampai di India dah lewat malam. Tak ada hotel untuk bermalam. Terjumpa dengan seorang lelaki di lapangan terbang mengajak saya untuk tinggal di hotel yang dia tempah bersama-sama. Memang tak boleh lari, bilik penuh dengan lipas dan tikus, kerana takut, saya terpaksa tidur dalam ‘sleeping bag’ walaupun berpeluh sepanjang malam,” katanya.

Di Croatia, katanya, sewaktu melancong bersama teman lelaki, disebabkan tapak perkhemaha­n perlu dibayar dengan harga tinggi, mereka mencuba nasib bertanya orang kampung untuk bermalam di kebun buah berdekatan. Mereka akhirnya dilayan seperti saudara sendiri malah diberikan buah tangan dan makanan sepanjang hari.

“Manakala di Indonesia, saya tinggal di satu pusat meditasi yang memerlukan peserta putuskan hubungan dengan dunia luar selama 10 hari. Sepanjang tempoh itu, saya tak berhubung dengan sesiapa pun bahkan tak ada muzik, buku atau apa saja. Cuma makan, tidur dan meditasi,” katanya.

DIMARAHI PEMANDU TEKSI DI CHINA

Dalam 29 negara yang dijejak, Melissa berkata sukar untuk dia meletakkan sesebuah negara sebagai yang paling digemari kerana setiap satu mempunyai kenangan tersendiri.

“Keunikan budaya dan kepelbagai­an diversiti terutama di

Asia membuatkan saya rasa bertuah kerana berjaya ke sana walaupun mengembara sendirian.

“Yang paling kelakar sewaktu saya menyeberan­g Vietnam untuk masuk ke China. Duit Vietnam saya tukarkan ke mata wang China dan dari sempadan, saya ambil teksi untuk ke hotel. Apabila saya hulur duit nak bayar, saya dimarahi dalam bahasa Cina. Disebabkan pemandu tak tahu berbahasa Inggeris, saya terpaksa minta bantuan orang tepi jalan.

“Akhirnya baru saya dapat tahu, wang saya bagi itu bernilai cuma sen (cent). Sambil tahan ketawa saya bayar guna wang dolar yang ada,” katanya.

Melissa berkata, apa yang digemari ketika berada di negara asing adalah mencuba makanan baru.

“Saya paling suka ‘coconut shake’ di Malaysia, Samosa dan Chai di India serta mi sup di Myanmar. Namun begitu, ada yang menjijikka­n seperti telur rebus yang dah ada bentuk anak ayam di dalamnya,” katanya.

HORMAT AGAMA WALAUPUN BERBEZA

Melissa yang kini kembali ke

Mexico berhasrat bekerja sementara sebelum pengembara­an seterusnya.

Dia berkata, Iran antara negara yang ingin dijejaki memandangk­an banyak berita buruk dan persepsi negatif dilaporkan media di Mexico mengenai negara itu.

“Saya benci mereka yang prejudis. Bagi saya, agama apa pun perlu dihormati. Di Indonesia, pertama kali ke sana, saya masuk ke masjid tanpa tutup kepala. Ada orang menegur lalu membeli saya tudung. Saya rasa ‘ralat’ kerana tak lakukan kajian terlebih dulu tapi mereka menegur dengan lemah lembut,” katanya.

“Sedikit mengenai Malaysia. Saya sukakan orangnya yang ramah dan baik. Pulau cantik, makanannya terbaik dan di sana juga saya pertama kali belajar makan dengan tangan. Sesuatu yang saya tak boleh lupa.

“Bagi pendapat saya, tinggallah di satu destinasi itu selama yang mampu untuk lebih fahami budaya, adat dan kepelbagai­an cara hidup orangnya. Jangan kejar jumlah negara. Biar perlahan tapi faham sepenuhnya,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? MELISSA (kanan) bersama kawan dari Indonesia di Paris.
MELISSA (kanan) bersama kawan dari Indonesia di Paris.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia