Harian Metro

Suspek lepak selepas kedai tutup

-

Kuala Lumpur: “Kami tidak kenal budak-budak itu (suspek) sebab kami difahamkan mereka melepak di kedai kami pada waktu lewat malam selepas kedai ditutup operasi,” kata pekerja kedai minum ‘Cek Mek Molek’ yang enggan namanya didedahkan.

Sumber polis sebelum ini mendedahka­n kedai minum Cek Mek Molek adalah lokasi terakhir kumpulan suspek remaja berkumpul pada jam 2.30 pagi dipercayai untuk berbincang membakar pusat tahfiz itu yang dilakukan kira-kira jam 4.40 pagi.

Pekerja kedai berusia 30-an berkata, kedai berkenaan dibuka seawal 7 pagi hingga 5 petang dan dia tidak mengetahui sebarang perkara yang berlaku pada waktu malam.

Katanya, dia diberitahu oleh kakitangan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersebelah­an dengan kedai itu bahawa premis itu kerap dikunjungi dan menjadi tempat melepak beberapa remaja nakal pada waktu tengah malam.

“Kami tidak mengenali suspek remaja yang ditangkap itu kerana kami bukan tinggal di kawasan taman ini, lagipun ramai remaja yang selalu datang dan kami tak kenal yang mana satu.

“Kedai kami juga tidak pernah berlaku kecurian serius cuma pernah kehilangan satu tong gas yang tidak mempunyai isi (kosong) lebih sebulan lalu,” katanya ketika ditemui di kedai itu yang hanya 50 meter letaknya daripada pusat tahfiz yang terbakar di Kampung Datuk Keramat di sini.

Menurutnya, dia menafikan kedai minum itu dinamakan sebagai Cek Mek Molek sebaliknya nama kedai itu adalah kedai Sembang Cafe.

“Mungkin kumpulan remaja di sini menggelark­an nama itu. Kami pun tidak tahu dari mana datangnya nama kedai Cek Mek Molek.

“Saya dan rakan saya pun baru tiga bulan lebih bekerja di sini, kami belum kenal persekitar­an dan gelagat penduduk di sini sepenuhnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia