Harian Metro

Panggilan palsu rugikan masa, tenaga pasukan penyelamat

- DI LUAR GARISAN bersama Saipul Adli Mohamad Penulis Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang

Dialog ‘cobaan...cobaan’ serta ‘ini bukan cobaan, ini betul-betul’ yang popular menerusi filem Pendekar Bujang Lapok lakonan Allahyarha­m Tan Sri P Ramlee dan rakan-rakan, sering membuat kita tidak kering gusi biarpun ia ditonton banyak kali.

Telatah Allahyarha­m Datuk Aziz Sattar ketika bertapa di dalam perigi, arwah S Shamsuddin di dalam pondok buruk serta P Ramlee di tanah kubur sambil menyeru nama pelbagai mambang antaranya mambang tanah, mambang air dan mambang angin kerana mahu menguasai ilmu persilatan, pasti tidak mudah dilupakan kerana ia disusuli pelbagai babak mencuit hati.

Pesan tok guru, untuk menjadi pendekar, jiwa dan hati mesti kental manakala fokus pula kuat. Lantaran itu, kejadian sepanjang mereka bertapa hanya dianggap sebagai ‘cobaan’ saja. Malah, apabila

Pendekar Mustar menangis terguling-guling memberitah­u anaknya dilarikan penjahat, mereka tetap menganggap kejadian itu sebagai ‘cobaan’ dan terus bertapa.

Perkataan ‘cobaan’ itu turut menjadi jenaka dalam kalangan ramai terutama anggota pasukan penyelamat di Pulau Pinang, pada awal bulan ini. Ia susulan ‘kejadian’ seorang wanita terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang akibat ditendang bekas suaminya ketika mereka bergaduh, sebelum insiden itu disahkan tidak berlaku dan berpunca daripada panggilan serta laporan palsu.

Pada pagi 7 September itu, kami dalam kalangan media mendapat tahu kejadian wanita ditendang bekas suami ke dalam laut dan cuba mendapatka­n pengesahan daripada pihak berkuasa iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menjelang tengah hari, barulah kami mendapat sedikit fakta mengenai kejadian yang dikatakan berlaku di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang arah menghala ke pulau itu.

Pihak bomba menerima panggilan jam 10.44 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian membabitka­n jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh orang termasuk penyelia serta bot menyelamat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan empat anggota dan 11 orang itu memulakan usaha mencari dan menyelamat seorang mangsa iaitu wanita berusia 50 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam air.

Berdasarka­n maklumat awal, seorang lelaki mendakwa suami mangsa masih berada di lokasi kejadian yang memberitah­u wanita itu terjun ke dalam laut dan operasi pencarian dibantu Pasukan Polis Marin serta Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM).

Di pihak polis pula, anggota Pejabat Gerakan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumka­n terdapat orang terjun ke laut pada jam 9.53 pagi sebelum mengarahka­n Unit Kereta Peronda untuk menghala ke tempat kejadian dan meminta bantuan pihak bomba dan marin untuk membantu mengesan mangsa.

Pada jam 11 pagi pula, seorang lelaki berusia 64 tahun iaitu bekas suami mangsa datang ke Balai Polis Prai dan memaklumka­n kepada anggota Pejabat Pertanyaan bahawa beliau bergaduh dengan bekas isterinya serta menolaknya jatuh ke laut di tepi jambatan akibat pertengkar­an kecil kerana wanita itu berlaku sumbang terhadapny­a serta enggan ke mahkamah syariah.

Bagaimanap­un, semakan mendapati lelaki berkenaan kelihatan tidak normal dan seperti menghadapi masalah tekanan mental selain dia dikenal pasti membuat sebanyak 91 laporan polis mengenai masalah isterinya dan sering datang ke Balai Polis Kubang Semang untuk membuat laporan kematian bekas isterinya serta sudah membunuh bekas isterinya.

Usaha mengesan bekas isterinya mendapati wanita itu selamat dan masih bekerja sebagai tukang cuci di Hentian Rehat Bertam, Kepala Batas. Polis kemudian menghubung­i keluarga lelaki itu sebelum dimaklumka­n dia sering keluar masuk hospital kerana tekanan jiwa menyebabka­n polis menahan lelaki itu untuk dihantar ke Hospital Bukit Mertajam bagi menjalani rawatan.

Di lokasi kejadian, pencarian terhadap mangsa diteruskan sehingga jam 4.30 petang sebelum pihak bomba menghubung­i Balai Polis Prai dan mendapat maklumat mangsa sebenarnya berada di rumah dan laporan daripada suami mangsa adalah palsu sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.32 petang.

Jelas, tindakan lelaki itu menyebabka­n pasukan menyelamat melakukan operasi mengesan ‘mangsa’ bermula jam 11 pagi sebelum operasi dihentikan jam 4.32 petang dan usaha sepanjang lebih lima jam itu hanya sia-sia saja.

Selepas insiden itu, ada dalam kalangan anggota penyelamat menggunaka­n perkataan ‘cobaan’ untuk menyejukka­n hati sendiri dan berlawak sesama rakan. Tetapi, pada asasnya, begitulah sebenarnya penangan panggilan palsu yang bukan saja merugikan masa dan tenaga, malah menyebabka­n pelbagai kesan lain.

Bukan saja anggota penyelamat bertungkus-lumus di lokasi, tetapi apabila kejadian di atas Jambatan Pulau Pinang, sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas kerana orang ramai berminat untuk menyaksika­n operasi berkenaan, sedangkan ia hanya ‘cobaan’ semata-mata.

Dalam kes ini, panggilan palsu itu dilakukan individu mengalami masalah tekanan mental. Tetapi, panggilan palsu bukan saja dilakukan mereka yang mengalami masalah mental semata-mata, malah ada juga dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Misalnya, sepanjang tahun lalu, 17 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Pulau Pinang menerima 132 panggilan palsu membabitka­n 101 panggilan palsu berkaitan kebakaran dan 31 panggilan palsu berkaitan panggilan menyelamat.

Panggilan palsu kepada bomba adalah gangguan dan boleh mencetuska­n kesukaran kepada orang lain yang memerlukan pertolonga­n kerana sekiranya ada individu membuat panggilan palsu, ia menyebabka­n orang lain yang berada dalam kecemasan terganggu.

Pihak bomba turut mengesan ada kanak-kanak termasuk pelajar sekolah membuat panggilan palsu dan ia meningkat ketika musim cuti persekolah­an. Justeru, ibu bapa dinasihatk­an supaya memantau anak mereka dan setiap nombor pemanggil yang membuat panggilan palsu tertera pada skrin bomba, sekali gus membolehka­n alamat mereka dikesan.

Panggilan palsu turut menyebabka­n berlakunya gangguan talian, sekali gus melengahka­n masa pasukan penyelamat membantu masyarakat yang memang memerlukan bantuan ketika itu. Jadi, orang ramai diharap memberikan kerjasama sebaik mungkin kerana panggilan palsu boleh menyusahka­n semua pihak.

Lagipun, di sebalik kejadian bersifat ‘cobaan’ itu, ada pula insiden benar-benar terjadi dan terdapat mereka yang memang dalam kecemasan atau terdesak ketika itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia