Harian Metro

Pegawai bank didenda RM4,500

-

Petaling Jaya: Seorang pegawai bank didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah mengugut mahu membakar sebuah stesen minyak.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhka­n hukuman itu terhadap S Shashitara­n, 29, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di stesen minyak Shell, Lebuhraya Damansara Puchong di sini, jam 12.30 tengah hari, 17 September lalu.

Dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap pembantu stesen minyak, Muhammad Daniel Roslan, 20, dengan berkata mahu membakar stesen minyak itu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Zawahrul Haq merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana perbuatan tertuduh yang mahu membakar stesen minyak itu boleh membahayak­an pekerja dan pelanggan di situ.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu sedang bertugas di tempat kejadian, dia didatangi tertuduh dalam keadaan mabuk menaiki sebuah kereta dan memintanya untuk mengisi minyak RM20.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia