Harian Metro

Hadiah hari lahir paling indah Alvin

-

Putrajaya: Pingat emas diraih Alvin Lim dalam acara ujian masa individu lebuh raya (H1-H5) lelaki semalam dianggap hadiah hari lahir paling indah.

Apa tidaknya, emas itu yang pertama buat dirinya selepas mula menjinakka­n diri dengan basikal kayuhan tangan secara sepenuh masa awal tahun ini.

“Pingat ini hadiah hari lahir paling berharga dalam hidup saya,” kata Alvin yang menyambut ulang tahun ke-42, Isnin lalu.

Alvin meraih emas dengan catatan 26 minit 47.573 saat di depan pesaing dari Singapura Lee Naren Sangkar dan Wayan Damai I (Indonesia).

Mengulas lanjut mengenai emas sulungnya sejak mula berkecimpu­ng secara sepenuh masa bersama skuad berbasikal awal tahun ini, Alvin berkata: “Saya memang disandarka­n meraih emas dan jurulatih sering meminta saya cuba dengan sebaik mungkin.

“Saya mula menyertai sukan ini awal tahun ini. Pada mulanya saya hanya berkayuh untuk tujuan rekreasi. Selepas kemalangan pada 2000, saya terserempa­k dengan kedai kerusi roda yang menjual basikal kayuhan tangan ketika bercuti di Australia.

“Pemilik kedai itu suruh saya mencubanya dan kali pertama mencuba, saya terus jatuh cinta. Saya kemudian membeli basikal itu dan bawa pulang ke Malaysia.

“Ketika berekreasi di Tangkak, saya terserempa­k dengan jurulatih para dan sejak dari itu kami kerap berhubunga­n sebelum beliau menawarkan saya untuk menyertai Sukan Para ASEAN.

“Saya kata boleh, tapi kita kena lakukan dengan bersungguh-sungguh kerana impian saya memang untuk beraksi di Sukan Olimpik akan datang.

“Disebabkan itu, saya bertekad berhenti kerja jurujual kereta awal tahun ini kerana mahu memberi fokus penuh terhadap sukan ini.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia