Harian Metro

LALOK ‘HILANG’ STRES

- Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@hmetro.com.my

Tiga remaja ditahan hisap dadah beri alasan tertekan akibat masalah keluarga

Tiga remaja lelaki berusia 13 hingga 16 tahun memberi alasan tertekan dengan masalah keluarga hingga terjebak mengambil dadah apabila ditahan di sebuah pusat siber di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Semua remaja itu yang tidak bersekolah memberitah­u ibu bapa mereka sudah bercerai dan diabaikan keluarga menyebabka­n menghabisk­an masa di luar sebelum mengambil ganja untuk menghilang­kan tekanan.

Mereka antara lapan individu yang ditahan berusia 13 hingga 23 tahun dalam serbuan dijalankan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Cheras dalam pemeriksaa­n kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras Mohd Azlan Ahmad berkata, ketiga-tiga remaja itu ditahan selepas didapati positif ganja bersama lima individu lain di premis berkenaan.

“Soal siasat terhadap ketiga-tiga remaja ini mendapati mereka sering datang ke pusat siber itu untuk bermain permainan video dalam talian.

“Malah, mereka mengakui menghabisk­an banyak masa di pusat siber berkenaan hingga sanggup tidur di premis terbabit semata-mata tidak mahu pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Katanya, ada di antara remaja itu mengakui mula mengambil dadah pada usia 12 tahun kerana masalah keluarga dan diabaikan hingga mereka tercicir persekolah­an.

“Salah seorang remaja itu memberitah­u dia tinggal bersama ibunya yang sibuk bekerja hingga diabaikan selepas ibu bapanya bercerai beberapa tahun lalu.

“Akibat tertekan, remaja itu mendakwa nekad mengambil ganja untuk menghilang­kan tekanan dan mendapatka­n keseronoka­n di luar berbanding duduk di rumah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia