Harian Metro

Tinggal keluarga cari ilmu di Makkah, Mesir

-

Kuala Terengganu: Demi agama, bekas Dekan Sekolah Pengajian Islam dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) nekad meninggalk­an keluargany­a di Terengganu bagi mendalami bidang agama di Makkah dan Mesir untuk dikongsi bersama masyarakat dalam menegakkan syiar Islam.

Pengorbana­n itu nyata berbaloi apabila Jaafar Hassan, 81, diumumkan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439 peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Jaafar yang masih aktif melakukan aktiviti penyebaran ilmu melalui penulisan buku dan ceramah di masjid menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah RM10,000, persalinan bernilai RM500, piala dan sijil penghargaa­n.

Penyampaia­n anugerah itu disempurna­kan Tengku Sri Temenggong Raja Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang mewakili Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jaafar yang menjadi pelajar Melayu pertama mendapat Anugerah Pingat Emas Syahadah Tertinggi di Majlis Idul Ilmi pada 1962 begitu aktif dalam melakukan kerja kebajikan sejak muda.

Dia yang mempunyai 11 cucu dan tiga cicit berkata, usia bukan penghalang untuk terus berbakti kepada masyarakat dan agama terutama dalam menegakkan syiar Islam.

“Meskipun kita hidup dalam dunia moden, saya lihat masih ramai anak muda yang berpegang teguh kepada agama Islam dan tidak bersifat keterlalua­n dalam membuat keputusan.

“Saya harap nilai murni yang disebarkan agama Islam ini akan terus mekar dan menjadi pegangan mereka dalam memastikan kesepaduan ummah terus kukuh,” katanya.

Dia yang kini dalam proses menyiapkan buku keduanya mengakui berjaya menerbitka­n sebuah buku berbentuk peringatan dan nasihat bertajuk At Tazkirah Wal Mau’izah pada 2003.

“Buku berkenaan dicetak semula dalam edisi rumi dan jawi pada 2007 dan Alhamdulil­lah ia dicetak buat kali ketiga pada 2011 dalam tulisan Cina,” katanya.

 ??  ?? JAAFAR bersama anugerah yang diterima pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439 peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, semalam.
JAAFAR bersama anugerah yang diterima pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439 peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia