Harian Metro

Orang utan Seduku sudah ada cucu

-

Padawan: Jika berkunjung ke Hutan Rizab Semula Jadi Semenggoh (SNR), di sini, orang utan daripada spesies Pongo Pygmaeus dapat dilihat dengan mudah bergayut bebas dari dahan ke dahan kerana dibiarkan hidup bebas di kawasan hutan berkenaan.

Dengan keluasan 653 hektar, hutan SNR yang diwartakan sebagai rizab semula jadi oleh kerajaan negeri pada 2000 kini menjadi pusat perlindung­an dan rehabilisa­si orang utan di Sarawak sejak 1975.

Sehingga kini, terdapat 28 orang utan berusia antara tujuh bulan hingga 46 tahun hidup bebas di dalam hutan semula jadi itu dengan menjadikan buah dan tumbuhan liar sebagai makanan utama.

Orang utan paling tua di SNR dikenali sebagai Seduku berusia 46 tahun dan kini sudah mempunyai cucu.

Ia antara orang utan betina terawal yang dibawa ke hutan rizab berkenaan.

Orang utan jantan yang diberi nama Richie berusia 36 tahun kini dianggap sebagai dominan kepada koloni haiwan itu di SNR kerana bertindak melindungi kumpulan berkenaan daripada sebarang ancaman.

Mungkin ada yang pelik kerana kebanyakan orang utan di Semenggoh diberikan nama sama seperti manusia dan rata-ratanya nama berdasarka­n kepada nama individu yang menyelamat­kan spesies itu, selain dinamakan sempena tarikh bersejarah orang utan itu dilahirkan.

Selain Richie dan Seduku, nama orang utan yang terdapat di SNR antaranya Lela, Ruby, Mas, Baka, Annuar, Analisa dan Selina.

Pengurus Pusat Hutan Rizab Semula Jadi Semenggoh Chong Jiew Han berkata, setiap hari renjer hutan akan memberi makan kepada orang utan di SNR sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 9 hingga 10 pagi dan 3 hingga 4 petang.

Menurutnya, pada masa itu, pelancong berpeluang melihat sendiri orang utan keluar dari sarang mereka yang dibina di atas pokok untuk makan buah seperti pisang, keledek dan kelapa yang diberikan renjer hutan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia