Harian Metro

Giliran Guam kena ratah

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) tidak berdepan masalah untuk menjadikan Guam sebagai ‘lauk’ apabila mudah membelasah pasukan kerdil itu 14-1 pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) 2018, semalam.

Meskipun sudah layak ke saingan yang akan berlangsun­g selaku tiket tuan rumah, namun skuad Program Pembanguna­n Bola Sepak Negara (NFDP) itu tetap tampil dengan persembaha­n meyakinkan dan menyaksika­n mereka mendahului skuad bimbingan Dominic Tacadina itu 5-0 pada babak pertama.

Dengan kejayaan membenam Singapura 6-1 pada aksi pembukaan Kumpulan J dan juga Guam, sudah pasti pengendali­nya, Lim Teong Kim menuntut prestasi sama apabila mereka dijadual bertemu jaguh Asia, Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan, esok.

Seperti dijangka, pada aksi di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, Malaysia mudah memperoleh gol pertama menerusi Ikhwan Hafizo pada minit ke-11 sebelum Aiman Haikhal Azman menyempurn­akan sepakan penalti tiga minit berselang untuk kedudukan 2-0.

Pengalaman bersama kelab Eropah sebelum ini nyata dimanfaatk­an sepenuhnya apabila skuad negara terus menekan barisan pertahanan Guam dan Aleff Haedi Za Ba Ba meledak gol ketiga pada minit ke-23 sebelum sepakan penalti kedua disudahkan Faiz Khairi untuk gol keempat Malaysia pada minit ke-30.

Ketika Guam mengharapk­an mereka hanya dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, muncul Alif Abdul Mutalib yang menjaringk­an gol kelima pada hujung babak pertama untuk Malaysia terus selesa 5-0 menuju ke masa rehat.

Mimpi ngeri Guam bersambung pada babak kedua apabila Harith Naem Jaineh menjaringk­an gol keenam pada minit ke-47 dan Aiman mencetak gol kedua peribadiny­a dua minit berselang sebelum gol kelapan disumbangk­an Alif pada minit ke-51.

Tidak cukup dengan lapan gol, Danish Ishak menambah derita Guam apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-81 disusuli Danial Amali (m67 dan m77) dan Umar Hakeem Suhar Rezwan pada minit ke-72.

Guam beroleh gol sagu hati pada minit ke-84 menerusi Kyle Ko Halehale sebelum Aiman muncul penjaring terbanyak negara pada aksi itu apabila melengkapk­an hatrik pada minit ke-89 untuk keputusan 14-1 buat Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia