Harian Metro

Album mini eksklusif Junction

Diterbit sempena ulang tahun ke-30, bakal beraksi pada Konsert Gegaran Rock Legenda

- Ridzuan Abdul Rahman mohamadrid­zuan@ hmetro.com.my

Penggemar muzik rock era 1980-an tentunya mengenali Junction yang popular dengan lagu Akan Ku Kenang, Demi Cinta Setia dan Monolog Untuk Rina.

Sejarah penubuhan mereka bermula pada 1987 apabila Junction ditubuhkan di Segamat, Johor dengan dianggotai Hatta (penyanyi), Misman (dram), Syed (bass), Amir (gitar- meninggal dunia pada 2010) dan Norazman (gitar).

Bercerita mengenai pemilihan nama Junction, Hatta berkata, ia diilhamkan bersempena tempat asal anggotanya iaitu Simpang Jabi, Segamat.

“Kebanyakan anggota berasal dari Segamat dan hanya saya seorang dari Temerloh, Pahang. Selain itu, nama Junction juga merujuk kepada tajuk lagu Jimi Hendrix ‘Villanova Junction’.

“Karier kami bermula dengan penyertaan dalam pertanding­an ‘Battle of the Bands’ sekitar Johor dan juga menjadi band pembuka tirai bagi persembaha­n kumpulan rock yang terkenal ketika itu,” katanya.

Menurutnya, persembaha­n Junction di pentas besar secara rasminya bermula apabila dijemput sebagai kumpulan pembuka tirai bagi konsert Burnmark.

Ia diadakan di Bandar Hilir, Melaka pada 31 Ogos 1987, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaa­n yang ke-30.

“Kumpulan Burnmarks seterusnya membawa kami menyertai uji bakat di Khaty’s Lounge, Damansara Jaya. Burnmarks bermain di situ bersama Wings.

“Apabila Wings menghasilk­an album pertama, mereka mula sibuk dan membuka peluang untuk kumpulan lain pula membuat persembaha­n. Kami datang uji bakat dan akhirnya terus diminta menyanyi malam keesokanny­a,” katanya.

Hatta berkata, pemilik Khaty’s Lounge yang dipanggil Mr Tan akhirnya menjadi pengurus mereka dan menjemput penerbit ternama untuk melihat persembaha­n Junction.

“Kami berjaya memikat hati Eric Yeo dari Polygram dan akhirnya mengikat kontrak bersama mereka pada Mac 1988.

“Dari situ Junction berjaya menghasilk­an album Arah yang dirakam di Lion Studio, Singapura pada 1988, diikuti album Penentuan (1989) dan Petualang (1990) terbitan Eric,” katanya.

Seperti kumpulan lain, Junction turut berdepan ujian apabila sembilan lagu daripada album Arah yang dipasarkan pada 1988 digam daripada siaran radio dan TV.

“Bagaimanap­un, kami lega album ini mencapai jualan lebih 70,000 unit dan Junction juga mendapat tawaran dari Malaysian Tobacco Company untuk mengadakan JunctionKi­ngsway 1988 Malaysian Tour Concert sempena pelancaran produk baru mereka iaitu Kingsway.

“Konsert di 13 lokasi di Semenanjun­g Malaysia ini mendapat perhatian dan sambutan yang amat positif daripada peminat muzik tanah air,” katanya.

Album kedua berjudul Penentuan turut dirakam di Lion Studio, Singapura dan mengambil masa selama satu minggu untuk disiapkan.

“Syukur album ini juga mendapat sambutan yang baik. Selepas itu kami menghasilk­an album Petualang yang juga album terakhir Junction pada1990.

“Selepas 1995 Junction tidak lagi aktif dalam muzik kerana industri muzik tempatan dilanda irama rock leleh. Syarikat pun dah tak berminat nak terbitkan album kami. Faktor pentas ‘funfair’ yang semakin pupus juga buat kami terpaksa undur diri,” katanya.

Hatta berkata, pada 2007 Junction bergabung kembali dengan mengadakan persembaha­n di sebuah karnival.

Tanpa diduga, persembaha­n mereka mendapat respons yang baik daripada peminat dan Hatta sering diundang mengadakan persembaha­n sama ada secara solo mahupun berkumpula­n.

“Diam tak diam Junction kini dah berusia 30 tahun. Kami kini dianggotai oleh saya, Norazman(gitar), Misman (bass) dan Muzammil (dram).

“Sempena ulang tahun ke-30 ini, Junction akan muncul dengan album mini eksklusif bertajuk ‘4’.

“Seperti tiga album terdahulu, Junction mengekalka­n identiti sebagai komposer untuk semua lima lagu yang terkandung di dalam album ini,” katanya.

Sebagai berita baik buat peminat, Junction akan turut beraksi pada Konsert Gegaran Rock Legenda di

Ulu Tiram, Johor bersama kumpulan rock, Giegiel, Ababil, Loving Born, Zero

Inc dan Overload pada 30 September ini, jam 8.30 malam.

“Konsert ini dianggap tapak untuk kami kembali aktif. Ia akan berlangsun­g selama tiga jam dan setiap kumpulan akan membuat persembaha­n selama 35 minit.

“Mungkin kami dah lama tak beraksi bersama, tapi jiwa muzik masih ada dalam diri masing-masing. Junction akan kekalkan muzik asal, cuma ada sedikit perubahan dari segi susunan muzik dalam persembaha­n kami nanti,” katanya.

 ??  ?? JUNCTION kini dianggotai (dari kiri) Muzammil, Hatta, Norazman dan Misman.
JUNCTION kini dianggotai (dari kiri) Muzammil, Hatta, Norazman dan Misman.
 ??  ?? SAMBUT ulang tahun ke-30 tahun ini.
SAMBUT ulang tahun ke-30 tahun ini.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia