Harian Metro

POLIS KEJAR SAMPAI MAUT

- Zairee Mohd Yasak am@hmetro.com.my

Isteri meraung terima berita suami maut nahas kejar suspek curi motor Arwah pernah patah kaki kiri kejar penjenayah dua tahun lalu

“Saya cuma boleh kata, jangan cakap ‘Apek’ dah tak ada (meninggal dunia) kepada rakan arwah yang hubungi saya untuk maklumkan perkara itu. Ketika itu, saya meraung dan tak percaya suami sudah pergi,” kata Nor Hafizah Jamil, 32, balu Lans Koperal Mohd Hilmi Ismail, 29, yang maut akibat kemalangan ketika mengejar suspek curi motosikal.

Dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) berhampira­n Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Semabok, di sini, jam 8.45 pagi semalam, Mohd Hilmi yang menunggang Yamaha LC135 bertembung Modenas Kriss ditunggang Ismail Abd Majid, 52, ketika dia mengejar suspek terbabit.

Difahamkan arwah yang mesra dengan panggilan Apek dalam kalangan rakan setugas menunggang Yamaha LC135 secara menyongsan­g arus dari arah Semabok ke Duyong ketika mengejar suspek sebelum bertembung Ismail.

Terdahulu arwah yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Ayer Keroh sejak lapan tahun lalu melakukan rondaan sekitar Semabok, terserempa­k suspek juga menunggang motosikal lalu mengejarny­a.

Mohd Hilmi yang parah di muka dan kepala disahkan maut di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan selepas melakukan pemeriksaa­n manakala Ismail yang cedera di dada pula meninggal dunia ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Nor Hafizah berkata, arwah suaminya kerap terbabit dalam kemalangan sepanjang bertugas dan dia sering menasihati Mohd Hilmi supaya berhati-hati dan tidak mengejar suspek jika keadaan berbahaya atau sudah terlepas.

“Saya memang risau dengan sikap tegas dan dedikasi arwah kepada pasukan polis. Sering saya ingatkan dia agar tidak terlalu agresif berikutan pernah beberapa kali cedera kerana sikapnya itu.

“Arwah juga pernah patah kaki kiri dua tahun lalu juga akibat terjatuh dari motosikal ketika mengejar supek,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Melaka, semalam.

Nor Hafizah berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah suaminya pada tengah hari Khamis lalu sebelum pulang ke rumah ibunya di Pengkalan Balak, Masjid Tanah untuk bermalam sempena cuti hujung minggu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkua­saan Trafik negeri, Superinten­dan Mohd Sham Abdullah ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berhubung kemalangan maut itu dan punca sebenar kemalangan disiasat.

Polis kini mengesan waris Ismail yang juga pemegang taraf pemastauti­n tetap (PR) dengan alamat terakhir di Taman Kerjasama, Bukit Beruang, Bukit Beruang, Melaka Tengah.

 ??  ??
 ??  ?? MANGSA yang maut selepas motosikaln­ya bertembung motosikal lain berhampira­n Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Semabok, semalam.
MANGSA yang maut selepas motosikaln­ya bertembung motosikal lain berhampira­n Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Semabok, semalam.
 ??  ?? MOHD Hilmi bersama anak dan isterinya.
MOHD Hilmi bersama anak dan isterinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia