Harian Metro

Siasat dalang rumah murah

 PPIM hantar memorandum kepada EAIC gesa isu penipuan tidak terus berleluasa

- Nursyahira­h Marzuki am@hmetro.com.my

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mahu isu penipuan rumah murah yang dijalankan pihak tidak bertanggun­gjawab disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Aktivis Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, berikutan itu, pihaknya menghantar memorandum kepada Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan (EAIC), semalam bagi memastikan isu berkenaan tidak diambil mudah oleh pihak tertentu.

“Kami membawa lebih 400 aduan daripada mangsa untuk membantu mencari punca modus operandi (MO) yang dilakukan dalang yang mengaku sebagai kontraktor syarikat perumahan.

“Selepas pertemuan dengan EAIC, mereka memberi jaminan untuk turut sama membantu dalam menyelesai­kan masalah ini dengan menubuhkan satu pasukan khas dalam menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum, di sini, semalam.

Selain itu, PPIM turut mengadakan sesi perbincang­an dengan EAIC yang berlangsun­g dua jam.

Memorandum berkenaan diterima Timbalan Pengarah Operasi (Aduan) Bahagian Operasi EAIC Celemans Kasim.

Yusof berkata, beberapa laporan polis sudah dibuat mangsa kerana mereka mengesyaki perkara terbabit adalah satu kes jenayah penipuan.

“Bagaimanap­un, dalang kes penipuan ini masih melakukan promosi rumah murah, seolah-olah tiada tindakan siasatan diambil ke atas mereka. “Oleh itu,

kami nasihatkan kepada orang ramai yang terkena dengan penipuan rumah murah ini untuk tampil menghantar aduan kepada PPIM,” katanya.

Menurutnya, memorandum yang dihantar kepada EAIC itu adalah satu langkah supaya kes berkenaan mendapat lebih perhatian yang sepatutnya daripada pihak berkuasa.

Baru-baru ini, Unit Tindakan Khas PPIM membongkar kegiatan sindiket penipuan rumah murah yang dijalankan enam individu sehingga tular di media sosial tempatan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia