Harian Metro

Rindu mendalam

- Suraya Roslan, Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail, Norizuan Shamsuddin dan Asrizal Aris am@hmetro.com.my

 Ibu tiga anak terkorban terbayang pelajar minta tolong

“Saya masih tertanya-tanya di mana air mata saya ketika ketiga-tiga anak saya disahkan meninggal dunia dalam tragedi ini,” luah ibu malang, Mas Hawani Mohamed Shahid, 37.

Menurutnya, kehilangan tiga anaknya, Muhammad Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 11, dan Muhammad Harris Ikhwan, 10, yang terkorban dalam kejadian pagi 14 September itu amat memberi kesan mendalam pada emosinya.

“Ketika ketiga-tiga anak ‘hilang’ pada hari kejadian, saya tidak menangis. Ketika itu saya tabah dan begitu kuat untuk menghadapi berita disampaika­n. Sebaliknya ahli keluarga lain yang menunjukka­n kesedihan mereka sehingga ada yang pengsan.

“Namun selepas seminggu saya mula lemah, tidak sihat dan semakin terasa kehilangan mereka. Baru saya teringat-ingat dan saya akui rindu kepada mereka,” katanya ketika ditemui sejurus majlis penyampaia­n sumbangan di Surau Ittifaqiya­h, Jalan Keramat Hujung, di sini, malam kelmarin.

Mas Hawani berkata, dia mengelak untuk melalui depan pusat tahfiz dan melihat ke aras tiga yang terbakar sejak tragedi itu kerana terbayang wajah anak tahfiz yang menjerit dan merayu meminta pertolonga­n pada pagi kejadian itu.

“Saya tidak boleh pandang lokasi kejadian kerana ia membuatkan saya bertambah sedih dan teringatka­n mereka. Saya cuba mengelak untuk melihat ke pusat tahiz kerana sebak.

“Malah ketika terpandang anak tahfiz yang mengenakan jubah dan berserban, ia menyebabka­n saya sedih kerana menguatkan lagi ingatan terhadap ketiga-tiga anak,” katanya yang dilihat beberapa kali mengelap air mata sepanjang majlis berlangsun­g.

Mas Hawani berkata, dia tidak sihat sejak kira-kira tiga hari lalu apabila mulai demam dan tidak bertenaga.

Bagaimanap­un usaha pengetua, Mohd Zahid Mahmood menghubung­i semua waris, pagi kelmarin untuk perjumpaan bersama jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida amat dihargai, menyebabka­n dia membuat keputusan untuk hadir ke majlis itu.

Mas Hawani berkata, sumbangan yang diterima sudah pasti tidak dapat menggantik­an ketiga-tiga anaknya yang sudah tiada, tetapi keikhlasan yang ditunjukka­n Datuk Seri Vida sangat dihargai.

 ??  ?? TIGA anak kesayangan Mas Hawani (dari kiri) Muhammad Syafiq, Muhammad Hafiz dan Muhammad Harris yang terkorban dalam kebakaran.
TIGA anak kesayangan Mas Hawani (dari kiri) Muhammad Syafiq, Muhammad Hafiz dan Muhammad Harris yang terkorban dalam kebakaran.
 ??  ?? MAS Hawani
MAS Hawani

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia