Harian Metro

Ular sawa ‘curi’ 30 ayam ternakan

-

Seorang penternak ayam di Taman Damar di sini, menyangka 30 ekor ternakanny­a yang hilang sejak setahun lalu akibat dicuri.

Namun, Mat Hussin Jusoh, 66, terkejut apabila mendapati ayamnya yang hilang selama ini akibat dibaham ular batik sawa.

Dia menyedari kejadian itu apabila menemui ular batik sawa berlingkar di dalam reban ayamnya jam 11 pagi semalam selepas kekenyanga­n membaham dua ekor ayamnya.

Susulan itu, Mat Hussin menghubung­i Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap ular sawa itu yang seberat 20 kilogram dan panjang 3.5 meter.

“Hanya dua ekor ayam itu saja yang tinggal selepas 28 lagi hilang secara berperingk­at sejak setahun lalu. Saya memang sudah jangka ada pencuri ayam.

“Rupa-rupanya ‘pencuri’ itu adalah ular sawa dan kini habis semua ternakan saya. Reban pun kosong,” katanya di sini semalam.

Mat Hussin berkata, dalam tempoh setahun, tiga ular sawa ditangkap APM di dalam reban ayamnya dan tangkapan semalam adalah yang keempat.

“Tak tahulah saya, ular yang baru ditangkap itu adalah reptilia yang sama makan ayam sebelum ini atau yang lain (yang sudah ditangkap APM),” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Gua Musang Mohd Yusalmi Yusoff berkata, pihaknya menangkap dua ular sawa batik di dua tempat berasingan, pagi semalam.

Katanya, bagi kes reban ayam di Taman Damar itu, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.20 tengah hari dan berjaya menangkap ular itu dalam tempoh setengah jam.

“Kes kedua, kita terima panggilan pada jam 12.42 pagi daripada penduduk Taman Wangi dan berjaya menangkap ular sawa batik seberat 20 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, semua ular sawa yang ditangkap sebelum ini diserahkan kepada Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

 ??  ?? ANGGOTA APM berusaha menangkap ular sawa di Taman Damar, Gua Musang.
ANGGOTA APM berusaha menangkap ular sawa di Taman Damar, Gua Musang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia