Harian Metro

3 pelajar UiTM cipta produk penjagaan diri unggul di Jakarta

-

Jakarta: Tiga mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengharumk­an nama Malaysia di persada dunia apabila dua produk penjagaan diri ciptaan mereka diiktiraf sebagai antara produk ciptaan terbaik di peringkat antarabang­sa.

Produk krim rawatan kulit dan gel rambut ciptaan Muhammad Salman Samin, Mohamad Kamarul Mohamad Sipi dan Nasywa Yazid memenangi pingat emas dalam pertanding­an Anugerah Pencipta Muda Antarabang­sa Ke-4 (IYIA) 2017 di sini semalam.

Pasukan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an Kimia UiTM Cawangan Pulau Pinang itu mencipta krim rawatan kulit “Murcogen” yang diperbuat daripada herba rumput Beijing untuk melega sakit kulit dan gel rawatan rambut yang berasaskan daun durian belanda bagi mengatasi pelbagai masalah rambut.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejurutera­an Kimia UiTM Pulau Pinang Mohamed Syazwan Osman yang juga penyelia kajian produk pelajar berkenaan berkata, kejayaan mereka mendapat pingat emas adalah sesuatu yang sangat membanggak­an UiTM cawangan Pulau Pinang kerana ia adalah penyertaan kali pertama.

Katanya, mereka tidak menduga akan mendapat hadiah pingat emas sekali gus untuk kedua-dua penyertaan dan ia adalah satu sejarah baru dalam penghasila­n kajian oleh pelajar UiTM Pulau Pinang.

Beliau berkata, bukanlah sesuatu yang senang untuk memenangi hadiah pingat emas kerana terpaksa bertanding dengan 250 produk yang dicipta oleh para pelajar instistusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah berasrama penuh daripada 13 buah negara.

Mohamed Syazwan berkata, Malaysia sudah menghantar sebanyak 60 projek produk ciptaan pelajar daripada beberapa institusi pengajian tinggi dan beberapa buah sekolah berasrama penuh.

“Bagi dua produk ciptaan pelajar UiTM itu, kita telah failkan untuk paten dan ia telah mendapat permintaan industri untuk dikomersia­lkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia