Harian Metro

270 keluarga dipindah ke pangsapuri baru

-

Kuala Lumpur: Seramai 270 keluarga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuarters Polis Sentul, yang dirobohkan bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bakal dipindahka­n ke pangsapuri baru.

Pengarah Projek Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Mass Rapid Transit Corporatio­n Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, kuarters lama yang terdiri daripada dua blok kediaman 16 tingkat itu kini dalam proses dirobohkan kerana asas tapaknya menghalang laluan terowong Laluan SSP.

“Kerja perobohan kuarters bermula Jun lalu dan dijangka selesai sepenuhnya Disember depan.

“Semua penghuni kuarters berkenaan sudah pun dipindahka­n dan mereka kini ditempatka­n sementara di pangsapuri Teratai Residence di Setapak sementara menunggu kuarters polis baru (Kuarters Polis Keramat) di Taman Keramat AU1 disiapkan akhir tahun depan,” katanya pada taklimat media di ibu negara, semalam.

Menurut Amiruddin, pihaknya menanggung sepenuhnya kos pemindahan termasuk bayaran sewa bulanan serta bantuan bas sekolah untuk anak kakitangan polis terbabit.

Katanya, kuarters kediaman baru itu jauh lebih selesa daripada kuarters lama berusia 40 tahun yang dirobohkan berkenaan. “Kediaman baru untuk keluarga berkenaan kelak seluas 1,200 kaki persegi dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur yang lebih selesa selain dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia