Harian Metro

Halang tugas penguat kuasa

- Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

 Peniaga makanan tidak mengaku empat pertuduhan termasuk pukul jiran

Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas empat tuduhan iaitu memukul tiga jirannya dan menghalang tugas anggota polis di sebuah pangsapuri, di sini.

Tertuduh, Norhayati Che Bakar, 48, yang juga peniaga makanan bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapny­a di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa dengan sengaja mendatangk­an kecederaan terhadap Masitah Hassan, 38, Tajul Hasikin Rosli, 39, dan Abdullah Hassan, 35, dengan memukul bahagian tangan dan dahi mereka.

Kejadian itu dilakukan di tingkat 4, Blok 1, Flat PKNS, Jalan PJS8/14, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 21 September lalu.

Dakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa sengaja menghalang penjawat awam iaitu dua pegawai polis, Asisten Superinten­dan Supari Mohammad dan Konstabel Masniza Muslimin daripada menjalanka­n tugas pada jam 5.15 petang pada tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanap­un peguam bela tertuduh, Datuk Suraj Singh memohon mahkamah mengurangk­an wang jaminan atas alasan anak guamnya teraniaya dan mendakwa semua mangsa kerap mengganggu anak-anaknya.

Mahkamah membenarka­n wanita itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia