Harian Metro

PKNP lanjut kontrak Shahrel

- Rodly Fadly sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekalipun kontraknya bersama PKNP FC masih berbaki sehingga hujung musim 2018, namun kelab berkenaan memilih untuk melanjutka­n kontrak Shahrel Fikri Md Fauzi sebaik saja liga berakhir hujung bulan ini.

Ia sebagai langkah untuk memastikan penyerang kebangsaan itu terus kekal bersama kelab dalam jangka masa panjang bagi meneruskan misi mereka.

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, langkah itu perlu diambil kerana PKNP tidak rela kehilangan pemain berkenaan yang dianggap aset paling bernilai kepada pasukan.

Apatah lagi, Shahrel kini mula membuka mata banyak pihak sehingga tercetus spekulasi bahawa dia antara pemain yang berada dalam radar pasukan Johor Darul Ta’zim untuk musim depan.

“Saya faham sebagai pemain yang sedang mencipta nama, spekulasi begini (perpindaha­n) tidak dapat dielak. Buat masa ini ia hanya sekadar khabar angin kerana belum ada tawaran hitam putih daripada mana-mana pasukan.

“Namun, saya yakin spekulasi ini akan bertukar menjadi kenyataan apabila liga berakhir kelak. Kalaupun bukan Johor DT, pasti ada pasukan lain yang akan cuba memancing Shahrel.

“Jadi, sebagai langkah persediaan, kami akan menawarkan kontrak lanjutan kepada Shahrel walaupun kontraknya masih berbaki semusim lagi. Sudah tentu kontrak baru ini akan menawarkan pakej yang lebih baik,” kata Bakar.

Namun, Bakar tidak menafikan tawaran baru itu belum menjamin ayam tambatan mereka akan kekal bersama PKNP terutama jika dia ditawarkan gaji berkali-kali ganda lebih baik.

Malah, menurut jurulatih itu, beliau tidak akan menghalang jika Shahrel mengambil keputusan untuk meninggalk­an kelabnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia