Harian Metro

2 LAGI ANGGOTA TLDM CEDERA DI BILIK TAHANAN

- Wan Asrudi Wan Hasan dan Farah Suhaidah Othman am@hmetro.com.my

Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 30 tahun dilaporkan cedera dalam kejadian sama dua anggota pasukan itu meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

Beliau berkata, dua anggota TLDM turut ditahan kelmarin dan direman semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, setakat ini jumlah tangkapan membabitka­n kes berkenaan seramai lima suspek.

“Ada kecederaan hampir sama pada mangsa yang kini berada di hospital.

“Siasatan forensik dijalankan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas. Pasukan polis Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak menjalanka­n siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri majlis itu.

Hasnan berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun manakala kedua-dua mangsa berusia 30 tahun.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 325/506 kanun sama.

Terdahulu pada jam 8.45 pagi semalam, Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarka­n dua suspek direman sehingga 7 Oktober ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota TLDM Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Bahaiqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulma­n Mohd Sukri, 26, meninggal dunia ketika berada dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Kedua-dua mangsa dimasukkan ke pusat tahanan itu pada 28 September lalu dipercayai kerana masalah disiplin tidak hadir bertugas dan dadah.

Bedah siasat mendapati kematian dua anggota berkenaan akibat penderaan fizikal hingga mengakibat­kan kecederaan dalaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia