Harian Metro

Abang mangsa dakwa ditumbuk

-

Kuantan: Lelaki yang mengikat anak tiri berusia 10 tahun menggunaka­n rantai besi pada tong gas dikatakan sering memukul tiga anak tirinya walaupun hanya kerana kesalahan kecil.

Perkara itu diakui abang mangsa berusia 16 tahun yang memaklumka­n bapa tirinya mudah naik angin dan akan memukul mereka apabila ada perkara yang tidak kena.

Keadaan itu turut membuatkan dia mengambil keputusan keluar dari rumah keluarga di Indera Mahkota 1, di sini, dan menumpang di rumah rakan di Kampung Tiram, dekat sini, sejak Julai lalu.

Katanya, ibu berkahwin dengan lelaki terbabit yang juga anggota tentera di Kem Batu 10, di sini, sejak dia berusia lapan tahun.

“Saya sering dipukul dan dimarahi ayah, pernah kepala saya cedera ditumbukny­a.

“Namun, saya tidak menyangka ayah bertindak sebegini sehingga menyebabka­n adik dimasukkan ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Mangsa yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumka­n rakan dan apabila pulang mendapati rumah terkunci, manakala adiknya yang lain berada di rumah saudara.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman berkata, polis sudah menahan ibu dan bapa tiri mangsa petang kelmarin.

Katanya, suspek berusia 32 tahun dan isteri berusia 37 tahun ditahan dan direman seminggu.

“Mangsa dipercayai berada dalam keadaan itu selama dua jam dan ditinggalk­an di rumah bersama dengan adik bongsu berusia dua tahun yang ketika itu berada di bahagian atas rumah.

“Ibu mangsa dipercayai keluar berniaga, manakala dua lagi adik-beradik mangsa berusia enam dan 13 tahun berada di sekolah,” katanya ketika ditemui dalam Program Gaya Hidup Sihat di Kem Bukit Galing, di sini, semalam.

Rosli berkata, mangsa anak kandung wanita itu hasil perkahwina­n terdahulu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabaika­n dan menganiaya kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia