Harian Metro

Turun tukun galak pembiakan

-

Kuantan: Walaupun perkampung­an dasar laut Kampung Nemo, Balok, di sini, mula ditemui sejak 10 tahun lalu namun tiada sebarang promosi atau usaha dijalankan bagi mengkomers­ialkan taman laut itu kepada penggemar sukan menyelam.

Namun, pengusaha operasi selam skuba di kawasan Balok mampu menarik nafas lega selepas taman laut itu kini mula diangkat sebagai produk pelanconga­n negeri, sekali gus mampu menarik kehadiran kumpulan penyelam dari dalam dan luar negara.

Bercakap mengenai kehadiran kumpulan penyelam ke taman laut Kampung Nemo, pengusaha Muck Dive Scuba, Mohammad Hazrin Ishak, 47, berkata, orang ramai terutama penggemar sukan lasak itu mula berkunjung ke Balok sejak setahun lalu apabila ia mula dikomersia­l secara meluas sebagai kawasan selaman dasar laut baru di Malaysia.

“Kebiasaan mereka (penyelam) akan datang ke sini (Balok) pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad. Mereka datang dengan pelbagai misi ada yang ingin menghayati keindahan Kampung Nemo dan ada juga yang menjadikan taman laut ini sebagai subjek fotografi lensa kamera mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Kampung Nemo yang terletak 30 minit perjalanan dari pesisir Pantai Balok turut mempunyai hidupan laut dikenali sebagai Animoni yang menjadi kegemaran spesies ikan bermain dengan hidupan itu.

Katanya, justeru hasil kerjasama pihaknya dengan Pejabat Kementeria­n Pelanconga­n dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang mengambil inisiatif menurunkan tukun batu dengan berat mencecah 30 kilogram bagi menggalakk­an pembiakan hidupan laut di Kampung Nemo.

“Apabila kumpulan penyelam melakukan selaman di Kampung Nemo jarak pandang dari dalam laut boleh menjangkau ke 15 meter dan ia sesuatu yang luar biasa terutama di kawasan laut lepas seperti di Pantai Balok,” katanya.

Mohammad Hazrin yang mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam bidang selaman skuba berkata, bagi merancakka­n kehadiran kumpulan penyelam ke Kampung Nemo, dia turut memperkena­lkan inisiatif dengan kerjasama pengusaha resort dan hotel di kawasan Balok dan Cherating untuk memperkena­lkan Kampung Nemo kepada pelancong.

Katanya, bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman menyelam, operator kendaliann­ya turut menawarkan kursus selaman asas di De Rhu Beach Resort dan mereka akan diajar mengenai teknik selaman di kolam yang berkedalam­an tiga meter.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia