Harian Metro

6 BUDAK RENTUNG

- AFP

 Kanak-kanak mati dibakar hidup-hidup akibat

perbuatan pengawal keselamata­n ‘mental’

Enam kanak-kanak mati dibakar hidup-hidup selepas pengawal keselamata­n di tadika mereka menyimbah mangsa dengan alkohol sebelum menyalakan api dalam kejadian yang menggempar­kan Brazil.

Kira-kira 50 orang dimasukkan ke hospital termasuk 14 kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun dalam kejadian itu.

Sepuluh orang dalam keadaan serius, manakala pengawal terbabit - dikenal pasti sebagai Damiao Soares, 50 - yang dipercayai mengalami sakit mental mati kerana turut mengalami kecederaan dalam kebakaran berkenaan.

Tragedi itu berlaku di bandar Janauba di tadika Innocent People dan Datuk Bandar Carlos Isaildon Mendes mengisytih­arkan berkabung selama tujuh hari.

Soares meninggal dunia beberapa jam kemudian di hospital selepas melecur teruk.

Kira-kira 80 kanak-kanak berada di dalam tadika itu ketika serangan berlaku dan ibu bapa yang tinggal berhampira­n bergegas ke sekolah berkenaan. Satu bilik darjah musnah akibat kebakaran itu.

Bapa seorang mangsa yang maut, Nelson de Jesus Silva berkata: “Sekolah itu dekat dengan rumah kami. Kami mendengar bunyi lalu bergegas ke situ untuk menyiasat apa yang berlaku.

“Anak perempuan saya budak baik dan sangat bijak.”

Seorang lagi ibu, Jane Kelly yang hilang anak lelakinya dalam kejadian itu berkata, mereka sekeluarga akan berpindah dan anaknya sepatutnya bertukar ke tadika lain.

“Saya baru terfikir mahu menukarkan­nya ke tadika lain. Pagi tadi kami datang awal ke sekolah dan saya tidak menyangka itu kali terakhir saya melihatnya hidup,” katanya.

Portal berita G1 melaporkan semua kanak-kanak yang maut berusia empat tahun. Polis kini menyiasat motif suspek, tetapi Superinten­dan Renato Nunes berkata, Soares mempunyai masalah kesihatan mental sejak 2014.

Menurutnya, pengawal itu ditugaskan menjaga tadika berkenaan pada waktu malam saja sejak lapan tahun lalu supaya tidak berinterak­si secara langsung dengan kanak-kanak di sekolah itu.

Sementara itu, Mendes berkata, tragedi lebih buruk mungkin berlaku sekiranya bilik bayi yang dibakar.

“Bilik bayi tidak jauh dari situ, hanya selang beberapa pintu. Jika itu berlaku memang sukar mengeluark­an mangsa.

“Sebaliknya, kejadian ini berlaku di bilik darjah kanak-kanak yang lebih besar dan mampu diarahkan berlari keluar,” katanya.

Siasatan polis di kediaman Soares menemui sejumlah arak. Dia dilaporkan memberitah­u keluargany­a minggu lalu yang dia mahu memberikan hadiah kepada mereka sebelum mati.

Presiden Michel Temer mengucapka­n takziah di Twitter.

“Saya terlalu sedih dengan tragedi membabitka­n kanak-kanak di Janauba itu. Sebagai bapa dengan anak yang masih bersekolah, saya tidak dapat membayangk­an betapa peritnya kejadian ini untuk ibu bapa kanak-kanak terbabit,” katanya.

 ??  ?? SOARES
SOARES

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia