Harian Metro

Dakwaan sotong virus tidak benar

-

Dungun: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menafikan dakwaan mengenai bekalan sotong di negeri itu dicemari sejenis virus sebagaiman­a yang ditularkan dalam laman sosial Facebook (FB), semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali berkata, dakwaan terbabit tidak benar dan orang ramai diminta tidak terpengaru­h dengan tuduhan itu.

Menurutnya, pihaknya mengarahka­n Persatuan Nelayan Negeri Terengganu membuat laporan polis dan berharap agar pihak Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menyiasat mengenai dakwaan tular terbabit.

“Perkara itu ditularkan dengan mendakwa lambakan sotong di Terengganu berlaku disebabkan ramai pengguna enggan membeli sotong.

“Selain itu, turut didakwa berlaku air pasang besar di perairan Kelantan dan Terengganu pada awal bulan ini hingga menyebabka­n sotong yang ditangkap dicemari virus yang belum dikenal pasti,” katanya.

Dakwaan itu tular selepas ia dimuat naik seorang pemilik akaun FB jam 9.47 malam pada 4 Oktober lalu.

Selain itu, individu berkenaan mendakwa sotong yang tidak laku berkenaan dibawa ke Pasar Borong Selayang dan dia memberi amaran supaya orang ramai tidak membeli sotong kerana dibimbangi terbeli hasil laut dibawa dari Terengganu.

Zawawi berkata, pihaknya sudah menjalanka­n siasatan di dua lokasi iaitu di Pasar Payang dan Pasar Cabang Tiga serta di Kompleks Perikanan Pulau Kambing di Kuala Terengganu.

“Hasil siasatan kita mendapati tiada lambakan sotong berlaku seperti yang didakwa dan peniaga sotong juga mengakui bekalan sotong tidak mencukupi akibat pemintaan daripada orang ramai serta peniaga.

“Kejadian air pasang besar juga tidak berlaku di negeri ini dan ia jelas membuktika­n dakwaan terbabit tidak berasas,” katanya.

Menurutnya, orang ramai di negeri itu diminta tidak terpengaru­h dengan dakwan berkenaan dan beliau memberi jaminan sotong di negeri berkenaan selamat untuk dimakan.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan daripada orang ramai yang mengalami keracunan akibat daripada memakan sotong.

“Kita juga melalui bahagian Keselamata­n Bio sudah mengambil sampel sotong di beberapa pasar dan hasil ujian mendapati tiada sebarang kewujudan virus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassim Mohamed ketika dihubungi mengesahka­n sudah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan mengenai dakwaan terbabit jam 11 pagi semalam.

 ??  ?? STATUS yang dimuat naik oleh seorang individu di FB.
STATUS yang dimuat naik oleh seorang individu di FB.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia