Harian Metro

RM30,000 lesap sebelum solat

-

Jertih: Suami isteri menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila disamun dua lelaki bertopeng bersenjata­kan pisau dalam kejadian di Kampung Alor Lintang, dekat sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.35 pagi ketika pesara guru berusia 69 tahun itu mahu menaiki kereta untuk menunaikan solat Subuh di masjid berhampira­n sebelum dihampiri dua lelaki bertopeng.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superinten­dan Kamsani Hassan berkata, lelaki itu kemudianny­a memegang dan mengikat tangan mangsa sebelum meninggalk­annya di tepi kereta lalu mengambil kunci rumah.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam rumah sebelum mengikat tangan isteri mangsa berusia 70 tahun dan menyelongk­ar untuk mencari barangan berharga di dalam rumah pasangan warga emas terbabit.

“Dua suspek melarikan diri bersama barangan mangsa seperti wang tunai, komputer riba, seutas gelang tangan emas dan dua telefon bimbit,” katanya.

Kamsani berkata, pasangan berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian memaklumka­n kejadian itu kepada anak lelaki mereka berusia 30 tahun.

Laporan polis dibuat anak lelaki mangsa di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan selanjutny­a.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpula­n menggunaka­n senjata,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia