Harian Metro

TAGIH ‘BISA’ KHAIRUL

- Mohd Khairie Khalid khairie@bh.com.my

 Haiqal mahu Raja Pecut Sukan SEA dalam kuartet 4x100m

Atlet olahraga negara Muhammad Haiqal Hanafi mengakui dia memerlukan ‘sentuhan berbisa’ daripada raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk membentuk kuartet terpantas.

Pelari pertama kuartet 4x100 meter pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu menjelaska­n Khairul perlu berada bersama tiga pelari utama lain untuk menjadikan pasukan negara lebih pantas dalam kejohanan berprestij selepas ini.

Justeru, Haiqal berharap Khairul dapat berada bersama kuartet 4x100m negara menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sekali gus menebus episod duka (mengalami kecederaan serta tidak diturunkan) di KL2017.

“Selepas KL2017, sasaran saya untuk tahun depan adalah temasya seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Remaja Asia, Kejohanan Remaja Dunia dan Sukan Malaysia (SUKMA),” kata Haiqal ketika dihubungi.

“Tapi, saya akan berfikir mengenai Sukan Komanwel terlebih dulu. Andai ada rezeki ke sana saya akan buat yang bersungguh-sungguh dan memanfaatk­an sepenuhnya kepercayaa­n diberikan.

“Tapi, paling penting saya harap Khairul dapat bersama dalam pasukan. Sebab dengan adanya dia, kami harap dapat baiki catatan masa dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.”

Haiqal menjadi watak penting di KL2017, membantu kuartet 4x100m memperbaha­rui rekod kebangsaan dengan catatan 39.27 saat bersama Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy.

Rekod lama adalah 39.62s dan ia dilakukan gandingan Haiqal, Badrul, Jonathan dan Khairul Hafiz pada Terbuka Vietnam, 27 Julai lalu.

Menyentuh mengenai pengalaman di KL2017 Ogos lalu, anak didik Mohd

Poad Md Kassim itu menjelaska­n dia dapat belajar bagaimana menyerap banyak tekanan dalam satu kejohanan besar.

Justeru, atlet berusia 18 tahun dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor itu berharap dapat diberi kepercayaa­n untuk beraksi dalam acara individu seperti pecut 100m lelaki pula dalam temasya berprestij selepas ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia